Isu Panas

Pembatalan SBPA Bukan Kegagalan Dasar Kerajaan

KUALA PILAH, 9 Mac  – Tindakan kerajaan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bukan disebabkan kegagalan kerajaan melaksanakan sesuatu dasar seperti yang didakwa pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebaliknya pembatalan itu dibuat selepas kajian mendapati skim itu tidak memenuhi tuntutan bagi meningkatkan gaji dan kemudahan lain untuk penjawat awam.

“Semasa kita mahu kemukakan SBPA itu, rupa-rupanya ada perkara-perkara yang  tidak kita ketahui di peringkat awal dan bila diperincikan satu persatu, pihak perkhidmatan awam yang diwakili Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam memberikan pandangan bahawa apa yang diusulkan (dalam SBPA) tidak dapat memenuhi tuntutan mereka.

“Perkara itu (skim SBPA) belum kita laksanakan kerana kita baru kemukakan tawaran, jadi perkara ini kita kaji balik kerana kita responsif kepada pandangan pegawai-pegawai awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan guru-guru agama, guru-guru takmir, ahli jawatankuasa masjid dan pemimpin-pemimpin masyarakat Kuala Pilah di Johol di sini hari ini sempena lawatan kerja seharinya ke Negeri Sembilan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Muhyiddin berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu juga telah diterima baik oleh penjawat awam sekaligus menyebabkan pembangkang berasa tergugat dan bimbang pengaruh mereka dalam kalangan penjawat awam menurun.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata siri Dialog Pendidikan Nasional yang merupakan sebahagian daripada kajian menyeluruh system pendidikan negara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang.

Katanya hasil dialog itu yang merangkumi pandangan dan idea daripada pelbagai lapisan masyarakat itu akan dirumuskan dan dimasukkan dalam laporan  yang akan dibentangkan hujung tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");