Berita Hari Ini

Rosmah Harap Ramai Rakyat Malaysia Ikuti Pengajian Seni Pentas Di Juilliard School

Datin Seri Rosmah Mansor berharap lebih ramai anak-anak Malaysia yang berbakat dalam bidang seni pentas diberi peluang menuntut di Juilliard School, sebuah institusi yang terkenal kerana telah melahirkan ramai pemenang anugerah Grammy, Emmy dan Pulitzer antara lainnya.

“Malaysia amat berbesar hati dapat menjalin hubungan dengan Juilliard School dalam bidang seni pentas,” katanya sempena lawatannya ke sekolah itu di sini pada Khamis.

Beliau tiba pada Rabu dalam rangka lawatan empat hari sempena mesyuarat Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) Pertubuhan Bangsa Bersatu yang sedang berlangsung di sini. Beliau dijadual berucap pada Jumaat.

Rosmah, yang juga penaung Permata Negara, berkata di bawah program Permata Seni, ramai artis seni pentas berusia antara tujuh dan 17 tahun telah dikenal pasti untuk diberi pendedahan antarabangsa.

Beliau gembira kerana pemuzik muda, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal, 13, telah menjadi rakyat Malaysia yang pertama diterima masuk ke sekolah berprestij itu, dan berharap dengan tunjuk ajar pemain piano terkenal, Dr Yoheved Kaplinsky, anak muda itu dapat menjadi seorang ahli muzik terkenal di peringkat dunia.

Dua tahun lepas, Tengku Ahmad Irfan membuat persembahan di Washington dan New York sempena “Faces of 1Malaysia Festival”. Pengajiannya di Juilliard School dibiayai oleh sekolah itu.

Dalam lawatan Rosmah itu, Tengku Ahmad Irfan telah memainkan sebuah lagu ciptaannya sendiri.

Dua pemain biola dari Permata Seni, Denise Mubin, 8, dan Joyce Lee Rui Jing, 11, turut membuat persembahan.

Presiden Juilliard School, Dr Joseph Polisi, dalam ucapannya berkata bahawa sekolah itu, yang menawarkan ijazah sehingga ke peringkat kedoktoran dalam bidang seni halus, kini mempunyai 800 pelajar, 30 peratus daripadanya rakyat asing.

Rombongan Rosmah termasuk Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar dan isteri beberapa menteri.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");