Perak Hari Ini

‘Anwar pemimpin terdesak’

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup menjadi kuda tunggangan DAP untuk merampas Putrajaya sebagai seorang yang ‘desperado’ atau terdesak.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Simpang Tiga, dekat Bagan Datoh, beliau berkata, Anwar mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ kerana sanggup diperalatkan oleh DAP asalkan cita-citanya untuk menawan Putrajaya tercapai.

“Beliau antara pemimpin yang begitu membenci DAP ketika masih berada di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu,” katanya.

Dek kerana begitu ghairah merampas kerajaan di Putrajaya, Ketua Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)  itu katanya, sanggup menggadai prinsip perjuangan politik yang tinggi pernah dimilikinya suatu masa dahulu.

“Anwar yang pernah saya kenali tidak bersikap demikian tetapi apabila dalam keadaan terdesak, beliau sanggup berbuat apa sahaja,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Naib Presiden UMNO itu berkata, tidak salah untuk seseorang individu itu mempunyai perbezaan fahaman politik selagi ia tidak melanggar empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Jelasnya, empat perkara itu meliputi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan raja-raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

“Jangan sebab marahkan nyamuk seekor kelambu habis dibakar… sikap ini tidak baik,” katanya lagi .

Ahmad Zahid berkata, sesuatu perkata yang positif harus disuntik demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.

“Jangan ambil tindakan semborono yang boleh memusnahkan negara kita sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan Anwar yang sanggup dikuda-kudakan oleh DAP baru-baru ini.

Pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Ipoh, Selasa lalu, Anwar telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau lebih mempercayai Penasihat DAP, Lim Kit Siang daripada UMNO.

Kenyataan Anwar itu dikecam ramai pihak berikutan ketaksubannya untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");