Berita Hari Ini

Kerjasama MAS-AirAsia harus diteruskan: Tun M

KUALA TERENGGANU: Kerjasama antara Malaysia Airlines (MAS) dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, harus diteruskan demi kepentingan kedua-dua syarikat penerbangan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan jalinan kerjasama berkenaan, MAS akan dapat belajar daripada AirAsia dan begitu juga sebaliknya.

“Saya nampak orang menentang bukan kerana kerjasama yang dijalin keduanya, tetapi cara pertukaran saham syarikat penerbangan berkenaan. Ini yang dibantah oleh ramai orang.

“Tetapi mereka tidak bantah tentang kerjasama. Jadi sekarang ini, ia (pertukaran saham) dibatalkan manakala kerjasama harus diteruskan. Ini kerana MAS boleh belajar banyak perkara daripada AirAsia.

“Tambang (AirAsia) cukup murah, kadang-kadang percuma, tetapi ia masih kekal memberi khidmat sudah 10 tahun. Sepatutnya ia dah bankrap. Sedangkan MAS dapat bantuan kerajaan sehingga RM3 bilion, tetapi masih rugi setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tajuk ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti’ anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan lebih 5,000 peserta.

Semalam, Khazanah Nasional Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd selepas gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu.

Menurut kenyataan itu, Khazanah berkata, pihak terbabit bersetuju untuk menukar semula pemegang saham bersilang dan kembali kepada struktur asal pemegangan saham utama kedua-dua syarikat.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");