Perak Hari Ini

Pembangunan pekan kecil tingkat kualiti hidup rakyat luar bandar

Proses pemodenan pekan kecil dijangka mampu merangsang pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar serta mengelak proses migrasi penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, dengan membawa perkhidmatan swasta dan kerajaan ke luar bandar, ia membolehkan rakyat luar bandar menikmati kualiti hidup sepertimana yang diperolehi masyarakat bandar.

“Ia menjadi asas kepada pembangunan infrastruktur fizikal dan meningkatkan interaksi masyarakat sama ada melalui sistem perhubungan, pengangkutan serta kemudahan awam yang lain,” jelasnya.

Tambah Dr Zambry, ia turut mewujudkan ruang bagi pembangunan usahawan bumiputera sama ada dalam bidang perindustrian mahupun komersial.

“Pembangunan pekan kecil diharap dapat meningkatkan nilai tanah dan memberikan kesan dalam peningkatan ekonomi serta pelaburan,” ujarnya.

Dr Zambry berkata demikian ketika berucap melancarkan Pembangunan Pekan Ijok di Kampung Masjid, dekat Ijok, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri katanya,  telah mengambil pendekatan dengan menyusun semula tanah bermilik di kawasan tersebut yang mana sebahagiannya dibangunkan dengan lot kedai dan sebahagian lagi dipulangkan kepada pemilik tanah.

“Kelebihan model yang diperkenalkan ini ialah apabila tanah pusaka yang difaraid dapat ditentukan oleh tuan punya tanah,” jelasnya.

Dalam pada masa yang sama, pemilik tanah juga tidak akan kehilangan tanah malah, mendapat tanah yang telah dinaiktaraf daripada pertanian ke perumahan, katanya.

Pekan Kecil Ijok merupakan pekan kecil kelima yang menikmati pembangunan di bawah usaha kerajaan negeri , antara 14 pekan kecil yang telah dikenalpasti sejak 2011.

Sebelum ini, kawasan sama yang terbabit dalam pembangunan itu ialah Tapah, Lawin serta pekan Tengku Hussein dan Sungai Tapah di bawah Gugusan Manjoi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");