Program Basmi Kemiskinan

Aleesya Analia perlu RM77,000 jalani pembedahan implan koklear

“Pastinya sesuatu yang amat bermakna bagi saya apabila dapat melihat Aleesya Analia Norhaid menjalani kehidupan yang normal sama seperti kanak-kanak sebayanya yang dapat mendengar dan petah berkata-kata selepas menjalani pembedahan implan koklear yang membabitkan kos berjumlah RM77,000,” demikian tegas Nor Aainy Kamal Bashah, ibu kepada kanak-kanak itu yang semakin buntu kerana tarikh pembedahan yang ditetapkan kian hampir.

Dek kekangan hidup lantaran suami yang tidak bekerja kerana sakit, membiayai kos pembedahan RM77,000 dilihat mustahil baginya yang hanya meraih pendapatan RM1,600 sebulan.

“Mujurlah Ipoh Spealist Hospital (KPJ) menghulurkan sumbangan RM10,000 untuk membiayai  sebahagian kos pembedahan yang dijadualkan sekitar Oktober atau November depan.

“Dengan pendapatan sebagai kerani dan suami tidak bekerja kerana sakit , harapan kami sekeluarga untuk melihat Aleesya Analia menjalani pembedahan tampak kabur tanpa sokongan dan bantuan kewangan daripada orang ramai,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Sehubungan itu, beliau katanya, mengharapkan ada pihak di luar sana sudi menyalurkan sumbangan bagi membantu anak keduanya itu menjalani kehidupan yang lebih ceria di masa akan datang.

Nor Aainy berkata, ketika ini, anak perempuannya itu mendapat rawatan di Klinik Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang disahkan cacat pendengaran sensori neutral di kedua-dua belah telinga.

Jelasnya, pakar yang mengendalikan kes Aleesya Analia memaklumkan anaknya itu sesuai menjalani pembedahan koklea implant untuk memulihkan pendengarannya dengan kos rawatan sebanyak RM77,000.

“Selain membeli alat koklear implan yang berharga RM70,000, Aleesya Analia juga perlu menjalani terapi audiologi dan pertuturan yang dianggarkan menelan belanja RM7,000,” kata Nor Aainy lagi.

Mengulas lanjut, setiap bulan, beliau katanya, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa anaknya ke HUKM bagi mendapatkan rawatan yang disediakan.

Ditanya samada beliau pernah cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak bagi menampung kos pembedahan Aleesya Analia, Nor Aainy berkata, permohonan kepada Baitulmal sudah dihantar baru-baru ini.

Jika sekiranya kos pembedahan berjaya dikumpulkan, beliau katanya, mungkin terpaksa mengambil cuti panjang tanpa gaji untuk menjaga anaknya dengan rapi memandangkan tempoh enam bulan selepas pembedahan sangat kritikal bagi menentukan sama ada pembedahan itu berjaya atau sebaliknya.

“Saya bersyukur kerana pihak majikan memberi sokongan padu kepada kami sekeluarga dalam menghadapi dugaan ini  dan besarlah harapan kami Aleesya Analia dapat menjalani kehidupan normal yakni boleh mendengar dan bertutur selepas menjalani pembedahan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat Dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata beliau akan memanjangkan masalah adik Aleesya Analia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga badan-badan korporat di negara ini.

“Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya berharap badan korporat dan orang perseorangan di luar sana bermurah hati menyalurkan derma atau bantuan kewangan bagi membiayai kos pembedahan adik Aleesya Analia.

“Dengan sumbangan yang diberikan, ia mungkin dapat memberi sinar dan harapan baru kepada anak kecil ini untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna di masa akan datang,” tegasnya lagi.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun CIMB 0803-0061795-52-8 atas nama Nor Aainy Bt Kamal Bashah atau menghubungi talian 017-2720930 untuk maklumat lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");