Sukan Hari Ini

Keluar senjata lama

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa tahun ‘terperangkap’ dengan permainan defensif, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sedia untuk mengeluarkan semula senjata yang pernah menjulang mereka memenangi Sukan Asia 2006 dan All England 2007, iaitu menyerang dan bermain lebih agresif dalam usaha memburu pingat emas Sukan Olimpik London.

Dengan harapan bulu tangkis yang bakal digunakan pada Temasya London tidak terlalu perlahan, Boon Heong percaya peluang meraih pingat adalah cerah, jika mereka berjaya menemui taktik yang tepat untuk setiap lawan yang ditemui.

Biarpun tidak memiliki reputasi meyakinkan sepanjang beberapa tahun lalu, malah hanya merangkul satu gelaran tahun ini – Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Mei lalu, namun pemain berusia 25 tahun itu optimis peluangnya dan Kien Keat untuk melakar kejayaan adalah secerah beregu handalan China, Cai Yun-Fu Haifeng atau pasangan No. 1 dunia dari Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung.

“Tidak kisahlah kalau orang lain sudah berputus asa atau tidak mempercayai kami, yang penting saya, Kien Keat dan jurulatih (Pang Cheh Chang) tetap yakin kepada diri sendiri. Keperluan kami sekarang ialah bagaimana hendak mencari taktik terbaik.

“Perkara pertama dalam perancangan, tukar corak permainan. Sekarang bukan masa untuk hanya menunggu pukulan lawan, sebaliknya kami juga kena memulakan langkah, bermain dengan corak menyerang dan agresif seperti dulu. Kalau ada peluang menyerang, kami perlu serang… tetapi taktik ini bergantung juga kepada bagaimana keadaan bulu tangkis di Olimpik nanti.

“Kami akan berhabisan untuk Sukan Olimpik kerana ia adalah medan pertarungan terbesar. Biarlah kami tidak bermain dengan baik pada kejohanan-kejohanan lain, yang penting kami bermain bagus di pentas sepatutnya. Saya dan Kien Keat sentiasa positif,” kata Boon Heong ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Walaupun memiliki keyakinan tinggi dan telah melakukan persiapan tambahan bagi mengharungi cabaran Olimpik London, namun Boon Heong tidak menafikan, format baru yang diperkenalkan pada temasya kali ini agak menyukarkan kerana setiap pemain perlu mengharungi peringkat kumpulan untuk ke suku akhir.

Bermakna, dia dan Kien Keat boleh diundi dengan mana-mana empat beregu pilihan – Yong Dae-Jae Sung, Cai Yun-Haifeng, Mathias Boe-Carsten Morgensen (Denmark) atau Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong di peringkat awal.

Seramai 16 beregu yang layak ke Olimpik akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan dua pasangan teratas setiap kumpulan akan meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Ia kedengaran mudah, namun memandangkan Kien Keat-Boon Heong tidak mendapat status pilihan pada temasya 27 Julai hingga 13 Ogos ini, mereka berpotensi diundi dalam kumpulan maut.

“Sukan Olimpik kali ini jauh lebih sukar berbanding empat tahun lalu kerana format kumpulan digunakan buat kali pertama. Mungkin kami boleh diundi dengan lebih daripada dua beregu utama dalam satu kumpulan dan jika itu yang berlaku, kami kena menang ke atas sekurang-kurangnya satu daripada mereka untuk meneruskan cabaran.

– Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");