Isu Panas, Perak Hari Ini

Pengundi lega Nizar tidak pertahankan Parlimen Bukit Gantang

Hasrat Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 diibaratkan seperti rahmat besar bagi pengundi kawasan itu.

Mana tidaknya, mereka sudah serik  dan meluat dengan sikap dan perangai wakil rakyat mereka yang lebih banyak berceramah di pentas politik daripada melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Dipetik daripada laporan Sinar Harian bertarikh 30 Jun lalu, Nizar yang juga Adun Pasir Panjang memberi alasan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum akan datang bagi memberikan peluang kepada calon PAS lain.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang kira-kira empat tahun lalu.

“Selepas saya dicalonkan di Pasir Panjang dan menang menentang MIC, saya dilantik menjadi Menteri Besar selama 11 bulan ekoran kemenangan itu dan ia satu pengalaman yang cukup mencabar.

“Kemudian, menang di Bukit Gantang dan mentadbir di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, saya merasakan ini cukup berat kerana DUN Pasir Panjang pun nak jaga dan tiga lagi DUN di Parlimen Bukit Gantang pun perlu ditadbir,” katanya.

Itu kenyataan yang diberikan Nizar kepada Sinar Harian tetapi adakah beliau melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Bukit Gantang dalam erti sebenar atau sekadar omongan kosongan semata-mata?

Peraktoday.com berkesempatan menemui pengundi Parlimen Bukit Gantang untuk mendapatkan kepastian sama ada mantan Menteri Besar itu menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Malangnya, maklumbalas yang diterima daripada pengundi cukup mengecewakan kerana mengakui batang hidung dan kelibat Nizar sukar dilihat di Bukit Gantang.

R Rajendran, dari Trong, berkata beliau berasa sedih dan kecewa kerana Nizar gagal melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat kawasan itu dengan baik.

“Tiap-tiap bulan Nizar dapat elaun tetapi beliau tidak buat kerja untuk kepentingan rakyat Bukit Gantang sebaliknya balik ke Pasir Panjang.

“Walaupun kini di pihak pembangkang, beliau sepatutnya bekerja untuk rakyat di sini kerana telah dipilih sebagai wakil rakyat.

“Jika ini sikap dan perangai Nizar, tak payah lagi bertanding di Bukit Gantang…..pergi balik kampunglah,” katanya.

Abdul Halim Roslan pula mendedahkan sejak Nizar menang dalam pilihanraya kecil lalu, Nizar begitu sukar untuk ditemui rakyat bagi mengadu masalah atau memohon bantuan.

Nizar katanya, sebaliknya akan meminta pengundi berjumpa dengan ADUN Trong, Datuk Rosli Husin jika mempunyai masalah atau ingin memohon peruntukan.

“Sejak Nizar menang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, kami di sini menghadapi kesukaran untuk berjumpa dengannya bagi mengadukan sebarang masalah yang timbul.

“Semua masalah pengundi Parlimen Bukit Gantang diajukan kepada ADUN Trong kerana Nizar sukar ditemui apatah lagi turun padang untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, keputusan Nizar tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang amat ditunggu-tunggu rakyat Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering, katanya.

Sementara itu, Duhazir Daud, dari Kampung Nibong, berkata sejak bergelar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Nizar lebih banyak berceramah di atas pentas politik daripada turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Nizar hanya Ahli Parlimen yang banyak berceramah dan komen sana komen sini sebaliknya khidmat kepada rakyat diabaikan begitu sahaja.

“Bila masa ceramah, beliau minta rakyat jumpa Adun Trong jika berhadapan masalah dan atas sebab itu saya rasa wajar sekali Nizar tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU-13 nanti.

“Kalau setakat pandai bercakap dan komen itu ini, lebih baik beliau tidak bertanding,” katanya lagi.

Selain itu, perwatakan dan percakapan yang dilafazkan Nizar katanya, telah banyak memecahkan perpaduan umat Islam.

Wakil rakyat PAS itu katanya, sanggup mengutuk Sultan Johor berkaitan bidaan plat WWW 1 dan menimbulkan banyak masalah dan kekacauan di Bukit Gantang hingga mengundang rasa marah dan benci di kalangan rakyat tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");