Laporan Eksklusif

Majlis Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri Sabtu Ini: DS Rosmah

MAJLIS Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri yang bakal berlangsung Sabtu ini, jelas membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sentiasa prihatin dan menghargai peranan serta sumbangan golongan remaja di negara ini.

Disertai 4,000 peserta yang terdiri ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dan Pengakap Malaysia, majlis yang julung-julung kali itu diilhamkan Isteri Perdana Menteri yang juga merangkap Yang Di Pertua PPPM, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

“Melalui majlis ini, golongan remaja dapat mengetahui dasar dan polisi yang dilaksanakan kerajaan dalam membangunkan negara tercinta ini.

“Selain beramah mesra dengan pemimpin nombor satu negara, peserta juga berpeluang meluahkan keinginan dan harapan mereka sebagai generasi masa depan yang bakal menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“”Hari ini, golongan remaja sering meluahkan berbagai kehendak dan ekspresi yang bersifat positif dan negatif bagi mendapatkan perhatian.

“Bagi mengelak kejadian tidak diingini, saya mengsyorkan perhimpunan ini yang membabitkan ahli Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Malaysia untuk meluahkan ekspresi mereka terhadap kerajaan dan barisan pemimpin,” katanya ketika ditembual dalam program Wanita Hari Ini di TV3, hari ini.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, melalui majlis yang bakal berlangsung di Stadium Negara itu juga, golongan remaja akan merasa bahawa mereka dihargai kerana turut diberi peluang untuk menyumbang usaha dan idea dalam membangunkan Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri akan memaklumkan mengenai harapan negara terhadap golongan remaja serta peluang-peluang yang tersedia untuk mereka manfaatkan sepenuhnya.

“Golongan remaja diharap dapat menjiwa setiap dasar dan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan selama ini, sekaligus memupuk rasa hormat, menghargai dan menyayangi pemimpin.

“Perhimpunan ini memberi peluang kepada pemimpin dan golongan remaja untuk meluahkan ekspresi mereka dan apabila wujud persefahaman antara kedua-dua belah pihak, konflik tidak akan wujud,” katanya lagi.

Sebagai ibu, beliau katanya, pasti ingin melihat golongan remaja yang bersopan santun dan beradab mulia yang bukan sahaja menghormati ibu bapa tetapi juga pemimpin serta menghargai apa jua nikmat yang perolehi hari ini.

Jelasnya lagi, tamadun negara yang dimiliki akan musnah dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang jika golongan remaja tidak menghargai dan menyayangi apa yang mereka nikmati hari ini.

“Oleh itu, PPPM menggalakkan ahlinya turun padang untuk mendalami masalah rakyat selain melahirkan perasaan kasih-sayang sesama insan.

“Melalui pendekatan itu juga, kita berharap dapat menghakis budaya takut di kalangan remaja sebaliknya mereka perlu sedar  masih ada ruang rundingan dan perbincangan antara mereka dengan pemimpin negara,” tegas Rosmah lagi.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri begitu teruja untuk mendekati golongan remaja beruniform yang bakal menyertai perhimpunan itu yang turut diserikan dengan persembahan menarik daripada Permata Seni Koir, pancaragam dan artis tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");