Laporan Eksklusif

Program Turun Padang Merakyatkan Persatuan Pandu Puteri: DS Rosmah

Program Turun Padang yang dipraktikkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berjaya menjalin kerjasama dengan masyarakat setempat sekaligus dapat merakyatkan ahlinya dengan pelbagai masyarakat di negara ini.

Yang Dipertua PPPM, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, berkata ia bertepatan dengan falsafah persatuan itu Selalu Sedia, Memberi Khidmat dan Tolong Orang Selalu.

“Melalui program seumpama ini, ahli PPPM akan sedaya upaya ingin memenuhi aspirasi tersebut dengan merasai hati dan jiwa segenap lapisan masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti yang direncanakan.

“Program turun padang misalnya telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan penduduk setempat, sekaligus merakyatkan Pandu Puteri dengan masyarakat, dengan harapan kita akan dapat memberi sesuatu yang bernilai terutamanya kepada golongan sasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri di Stadium Negara, dekat Kuala Lumpur, sebentar tadi.

DS Rosmah berkata, sejak ditubuhkan pada 1917, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan persatuan itu bergerak maju dan diperkasakan demi mendukung matlamatnya yakni membantu membangunkan potensi remaja wanita.

Tambahnya, selain meneruskan aktiviti rutin, persatuan itu telah diberi nafas baru supaya terus kekal relevan dan dinamik selaras dengan cita rasa anak muda hari ini.

“Kita perlu peka bahawa berdasarkan peredaran zaman, sudah tentunya keadaan psikologi dan pertumbuhan minda anak gadis sekarang adalah jauh berbeza dengan masa dahulu.

“Oleh yang demikian, aktiviti dan program kepanduan juga perlulah dirancang supaya sealiran dengan perubahan agar dapat  memimpin remaja kita menggalas tanggungjawab.

“Justeru, saya berharap pengisian program Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri ini menepati cita rasa dan kehendak anak remaja di Malaysia,” kata Rosmah lagi.

Beliau berkata, dalam mendepani transformasi, usaha membina modal insan menjadi teras kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju lagi seimbang yakni dari sudut spiritual dan fizikalnya.

Oleh itu katanya, kepimpinan melalui teladan menjadi tunjang kepada perjalanan tersebut dan golongan remaja menggalas tanggungjawab yang berat terhadap negara.

“Saya menyeru golongan remaja menjadi insan terbilang yang menerima amanah untuk membawa bangsa mencipta kejayaan lebih cemerlang dan meletakkan negara di persada lebih gemilang,” kata DS Rosmah lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan gadis remaja dalam Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Malaysia dapat membina generasi yang berwawasan, berdaya tahan dan mampu menyediaka keperluan masa depan.

“Golongan remaja perlu disiapkan dengan pelbagai ilmu, kepakaran dan maklumat untuk memikul tanggungjawab bagi membina ummah dan saya ingin melihat mereka memiliki kekuatan mental dan fizikal yang boleh merangsang untuk berfikir ke arah membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran, kekeliruan dan ketidakpastian,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri dan DS Rosmah tiba di perkarangan Stadium Negara kira-kira jam 4 petang dan sambutan yang diterima cukup meriah dengan kehadiran kira-kira 4,000 ahli PPM dan Pengakap Malaysia.

Majlis itu turut mendapat tajaan syarikat korporat termasuklah Permodalan Nasional Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Kementerian Pelajaran Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");