Laporan Eksklusif

Remaja aset, khazanah negara yang tidak ternilai: PM

Generasi muda adalah aset dan khazanah negara yang tidak ternilai, sekaligus menjadi pelaburan penting untuk menjamin masa depan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia tidak boleh hanya dijadikan sebagai slogan tetapi akan diamal dan dipraktikkan dengan sedaya upaya agar khazanah dan aset berharga negara ini dapat dicanai supaya golongan remaja benar-benar menyinar masa depan negara.

“Kita tidak mungkin akan berjaya dalam proses transformasi jika pembangunan modal insan tidak utuh dan kuat.

“Sehubungan itu, apa jua aktiviti yang dilaksanakan oleh ahli persatuan beruniform seperti Pandu Puteri dan Pengakap merupakan wacana yang baik untuk mereka menyiapkan diri untuk masa depan, sekaligus mewarisi kepimpinan negara,” katanya ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 4,000 ahli Pandu Puteri dan Pengakap sempena Majlis Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri di Stadium Negara, dekat Kuala Lumpur, petang tadi.

Majlis julung-julung kali yang dianjurkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) itu dilhamkan oleh Yang Di Pertuanya, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata lagi, beliau amat tertarik dengan ekspresi yang diluahkan ahli persatuan itu yang ingin berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara selari dengan falsafah persatuan yakni ‘Tolong Orang Selalu’.

Jelasnya, pendekatan turun padang yang dipratikkan Persatuan Pandu Puteri berjaya merakyatkan persatuan itu, yakni kegiatan yang tidak hanya bersifat dalam lingkungan ahlinya semata-mata tetapi juga memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.

“Ini bertepatan dengan apa yang kerajaan perkenalkan iaitu gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan semua kegiatan persatuan berupaya memberi kesan positif serta membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Tambah Najib lagi, melalui program Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri itu, pihak kerajaan dapat mendengar suara hati anak muda dan seterusnya membantu golongan itu mencapai cita-cita yang diinginkan.

Dengan menyertai badan beruniform, semangat dan jati diri yang mantap dapat dibina di kalangan remaja termasuklah bekerja dalam satu pasukan serta menghormati pemimpin.

“Melalui badan beruniform seperti Pandu Puteri dan Pengakap, kita dapat memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa dan agama,” katanya.

Najib berkata, falsafah persatuan perlu diadun sebati dengan diri agar setiap ahli mempunyai panduan serta berfikiran matang  dalam menjayakan matlamat pertubuhan dan persatuan.

“Bakat kepimpinan juga dapat digilap melalui aktiviti berpersatuan dan sudah pastinya setiap ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan cita-cita besar untuk melihat anak mereka berjaya,” katanya lagi.

Oleh itu, bakat kepimpinan kata Najib, perlu diasah dari peringkat lebih awal yakni di bangku sekolah lagi.

“Bakat kepimpinan hendaklah diasah di peringkat awal lagi sebab jika di bangku sekolah, golongan remaja memiliki nilai untuk menolong orang lain seperti orang tua, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang berdepan dengan bencana atau malapetaka,” katanya lagi.

Jika nilai murni itu dapat diterapkan, ia akan berterusan hingga ke akhir hayat dan seterusnya dapat membangunkan masyarakat yang bersatu-padu dan menegakkan keadilan sosial, kata Najib.

Jelasnya, itu antara nilai baik yang diperolehi apabila bergerak atau menyertai pasukan beruniform yang melambangkan 1Malaysia, sekaligus mendokong cita-cita dan nadi harapan dalam mencapai wawasan negara.

“Saya teringat kata-kata Imam Al Ghazali bahawa kalau kita ingin lihat masa depan sesebuah bangsa, kita mesti lihat dahulu rupa generasi muda hari ini.

“Sebab itu, kerajaan anggap generasi muda dan remaja sebagai aset besar dan khazanah tidak ternilai kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperbanyakkan lagi program bersama orang muda dan Himpunan 1 Juta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini antara program yang amat berjaya dari segi penganjuran.

“Program yang membabitkan penyertaan generasi muda akan diperhebatkan lagi sebab ia merupakan pelaburan dan perbelanjaan untuk menjamin demi masa depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");