Sukan Hari Ini

Simpan pingat dalam bilik kebal

LONDON – Pingat-pingat untuk Sukan Olimpik 2012 disimpan di dalam sebuah bilik kebal di Menara London, yang dikawal oleh pengawal bersenjata.

Sebanyak 4,700 keping pingat emas, gangsa dan perak tidak lagi akan dipamerkan kepada umum sehinggalah ia dikalungkan kepada atlet yang memenangi acara, yang akan bermula di London pada 27 Julai.

Pengerusi jawatankuasa penganjur Olimpik London, Sebastian Coe membawa pingat-pingat berkenaan ke bilik kebal di mana ia akan disimpan di situ sehingga hari ia akan dikalungkan kepada pemenang.

“Bagi atlet, memenangi pingat Olimpik atau Paralimpik mewakili penat lelah mereka berlatih beribu-ribu jam dan mencapai tahap tertinggi dalam sukan.

“Majlis kalungan pingat adalah saat di mana atlet akan benar-benar diraikan di atas kejayaan mereka,” kata Coe.

Pingat pertama dijangka dikalungkan kepada pemenang pada 28 Julai, di mana akan berlangsung acara menembak 10 meter air rifel wanita dan 10 meter air pistol lelaki.

Pingat emas Olimpik sebenarnya bukanlah emas tulen. Hakikatnya pingat emas Olimpik diperbuat daripada 92.5 peratus perak dan 1.34 peratus emas, manakala selebihnya tembaga.

Logam yang digunakan untuk membuat pingat dilombong di Mongolia dan Utah, Amerika Syarikat. – AFP

-Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");