Perak Hari Ini

180 Golongan Kurang Berkemampuan Gembira Terima Sumbangan Felcra

Sambutan lebaran tahun ini lebih bermakna buat 180 indvidu yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang berkemampuan apabila mereka diberi peluang membeli-belah persiapan Aidilfitri yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Kehadiran 180 individu yang didatangkan khas dari UMNO Cawangan Ipoh Barat, Tapah, Tanjung Malim dan Pasir Salak telah disambut oleh Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, setiap kali tibanya musim perayaan, Felcra tidak ketinggalan mengambil pendekatan membantu golongan kurang berkemampuan dengan memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka.

“Hari ini, kita bawa seramai 180 individu dari beberapa kawasan untuk membeli kelengkapan menyambut Hari Raya yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felcra,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Kalsom Abdul Majid dari Tanjung Malim, berkata tiada apa yang lebih menggembirakan buat dirinya serta anak kembarnya, Mohd Hakim Mohd Asri dan Mohd Hakimi Mohd Asri, 9, apabila dipilih untuk menerima sumbangan Aidilfitri daripada pihak Felcra.

“Sebelum ini, saya hanya sempat belikan baju Melayu sahaja untuk kedua-dua anak kembar saya tapi hari ini dapat peluang untuk beli baju yang lain pula.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Felcra kerana sudi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Aidilfitri,” katanya lagi.

Bagi Norfazilah Omar, ibu tunggal yang berasal dari Bidor pula, sumbangan itu dapat meringankan bebannya untuk membeli keperluan kedua-dua anak lelakinya.

“Ini pertama kali saya menerima bantuan sebagai ibu tunggal dan tentulah saya berasa amat gembira kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan saya sebagai ibu tunggal,” katanya yang membeli pakaian untuk dua anak lelakinya, Adam Farish Mohd Fadil dan Alif Fahrin Mohd Fadil.

Katanya, sebelum menerima sumbangan daripada Felcra, beliau sekeluarga hanya membuat Aidilfitri secara bersederhana.

“Dengan bantuan hari ini, dapatlah saya membeli keperluan-keperluan lain untuk anak-anak saya,” katanya lagi.

Para penerima dibawa untuk membeli belah di Jaya Jusco Kinta City dan setiap seorang daripada mereka menerima sumbangan RM250 untuk membeli pakaian baru sempena Hari Raya.

Bagi ibu tunggal pula, selain berpeluang membeli pakaian baru, mereka juga turut menerima wang untuk membeli barang keperluan dapur di pusat membeli-belah tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");