Program Basmi Kemiskinan

JPN, SPR Perlu Kemaskini Data Elak Berlaku Kesilapan Daftar Pengundi

Akibat kesilapan data yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seorang warga emas, Fong Tong Seng tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya umum 2004 dan 2008 kerana diisytiharkan sudah meninggal dunia.

Mengikut data JPN, warga emas itu meninggal dunia pada tanggal 14 September 1983 pada usia 105 tahun, sedangkan Tong Seng masih hidup dan kini berumur 74 tahun.

“Disebabkan kesilapan data itu, saya tidak dapat menunaikan hak sebagai pengundi pada pilihanraya umum 2004 dan 2008.

“Selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena, saya berjumpa dengan Ketua Urusetia Pusat Khidmat danAduan Barisan Nasional (BN), Mohd Rawi Abdullah pada September 2011 bagi mendapatkan kepastian.

“Namun, semakan yang dibuat melalui sistem SPR mendapati nama saya masih belum didaftarkan.

“Pusat ini kemudiannya telah menghubungi SPR untuk mengetahui perkara ini dan kami dimaklumkan nama saya telah dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih kerana didaftarkan sebagai meninggal dunia oleh pihak JPN pada 14 September 1983,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Disebabkan masalah itu, beliau katanya, mengalami tekanan emosi kerana dianggap sudah meninggal dunia berdasarkan kepada data yang dikeluarkan JPN.

“Saya mahu pihak JPN memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihak bertanggungjawab perlu membetulkan semula data yang salah dengan segera kerana kesalahan itu menyebabkan Tong Seng tidak dapat mengundi malah lebih malang disenaraikan sudah meninggal dunia.

Tegasnya, masalah ini berlaku kerana pihak JPN dan SPR tidak mengemaskini data pengadu bagi membolehkannya mengundi dan tidak timbul masalah lain pada masa akan datang.

“Pusat ini menerima banyak laporan sama tetapi si pengadu tidak tampil ke hadapan untuk menyemak daftar pemilih atau membetulkan kesilapan data yang dikeluarkan JPN.

“Jika masalah dibiar berterusan, ia pastinya amat merugikan kerana setiap undi amat bermakna dalam pilihanraya,” tegas Mohd Rawi lagi.

Beliau berkata, kes Tong Seng akan dipanjangkan ke pengetahuan JPN bagi membolehkan nama warga emas itu didaftarkan semula dalam senarai daftar pemilih.

“Kita berharap JPN dapat membetulkan semula data yang salah itu dengan segera supaya Tong Seng boleh menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia pada pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");