Jenayah

Jeritan mak selamatkan nyawa 3 beranak

KUALA TERENGGANU – “Nasib saya tersedar daripada tidur dan terdengar bunyi bising suara kakak dengan mak meminta tolong, jika tidak mungkin kami tiga beranak rentung dalam kebakaran itu.”

Demikian luah Nik Natrah Nik Embong, 25, ibu kepada pasangan kembar yang nyaris rentung dalam kebakaran di kediaman ibunya di Kampung Tanjung Paya, di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Nik Natrah berkata, semasa kejadian iaitu kira-kira jam 3 pagi, ibunya, Halipah Che Muhammad, 55, tidur di ruang tamu bersama kakak sulung dan adik bongsunya serta lima saudara mara lain yang balik sempena hari raya manakala
dia bersama anak kembarnya tidur di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.

“Saya hanya tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi suara kakak dengan mak menjerit ‘api! api’ dan panik dengan situasi itu, saya terus mendukung kedua-dua anak kembar yang tidur bersama keluar dari rumah.

“Jika kami lambat beberapa saat sahaja, mungkin kami sudah rentung kerana sejurus kaki saya melangkah ke tangga rumah terakhir, bunyi satu letupan amat kuat disusuri api yang marak membakar keseluruhan rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Nik Natrah, disebabkan terlalu panik, ibu dan kakaknya mengakui tidak sempat untuk mengejutkan dia anak-beranak yang tidur di dalam bilik kerana masing-masing sibuk menyelamatkan diri memandangkan api merebak begitu pantas.

“Nasib anak sulung saya yang berusia tujuh tahun bersama ayahnya di Setiu ketika kejadian kerana sekiranya dia ada bersama, saya tidak dapat bayangkan bagaimana hendak menyelamatkan nyawa mereka bertiga dalam masa yang sangat singkat.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat walaupun terpaksa tinggal sehelai sepinggang dan kehilangan tempat tinggal yang menjadi tempat kami berteduh selama ini,” katanya.

Ibu muda kepada tiga anak ini berkata, dia simpati kepada nasib ibunya yang juga ibu tunggal itu kerana hasratnya untuk menyelamatkan wang simpanan yang disimpan khas untuk kegunaan adik bongsunya menyambung pelajaran selepas hari raya nanti tidak kesampaian.

“Mak cuba masuk kali kedua bagi menyelamatkan wang tunai yang disimpan kira-kira RM800 untuk kegunaan adik bongsu, Mohd Syawal Ibrahim, 18, yang akan sambung belajar selepas hari raya ini, namun gagal kerana api merebak begitu pantas,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Zakiah Mamat, 52, sebelum kejadian, dia ada terdengar bunyi letupan dan menyangka hanya bunyi mercun atau bunga api yang sering dimainkan oleh kanak-kanak sempena hari raya ini.

“Bagaimanapun, setelah melihat jam, saya rasa tidak sedap hati kerana pada awal-awal pagi sebegini, tidak logik masih ada kanak-kanak bermain mercun atau bunga api, jadi, tanpa berlengah saya terus meninjau di luar rumah.

“Saya begitu terkejut setelah mendapati bunyi letupan itu dari arah rumah jiran saya yang terletak hanya beberapa meter dari rumah dan ketika itu, api sedang marak,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdullah Zawawi Mohamed, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.25 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihaknya dapati rumah jenis sementara anggaran keluasan 12 x 12 meter telah terbakar dan dengan kekuatan seramai 19 anggota dari Balai Bomba Jalan Kota dan bantuan daripada Balai Bomba Kuala Terengganu, api dapat dikawal sepenuhnya dalam beberapa minit.

“Bagaimanapun, kediaman berkenaan tidak dapat diselamatkan dan musnah seratus peratus, namun punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");