Berita Hari Ini

Najib utus surat minta Kelantan hantar wakil bincang royalti minyak

KUALA LUMPUR, 4 Ogos ? Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengesahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menghantar surat kepadanya yang meminta agar kerajaan Kelantan dapat menghantar wakil bagi membincangkan pembayaran royalty minyak untuk negeri berkenaan.

Jelas Nik Aziz, surat itu telah dihantar Jumaat lalu kepadanya dan telah diterima oleh Setiausaha Sulitnya, Rosdi Mohamad.

“Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi.

“Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya,” kata Nik Aziz (gambar) dipetik Harakahdaily.

Mursyidul Am PAS itu bagaimanapun berkata, pihaknya akan menghadap Sultan Kelantan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menghantar wakil berhubung perkara ini.

Kelantan sejak sekian lama memperjuangkan agar Petronas membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri terbabit berdasarkan telaga minyak yang  berdekatan dengan pantai Kelantan.

Najib sebelum ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan persekutuan.

Dipetik Bernama, Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Perdana Menteri itu juga berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Najib berkata dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Pantai Timur Semenanjung akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

Petronas telah menandatangani perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan mengenai pembayaran royalty minyak. Mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

Apabila Terengganu jatuh kepada PAS pada 1999, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan Petronas untuk menyimpan royalti berkenaan pada September 2000 supaya pembangkang tidak mempunyai keupayaan untuk menguruskan dana bernilai lebih setengah bilion ringgit secara tahunan itu.

Royalti itu kemudiannya disalurkan melalui wang ehsan yang mana pembangkang dan sebahagian ahli politik BN dakwa disalah urus apabila digunakan untuk projek besar-besaran seperti Monsoon Cup dan Masjid Kristal.

Pada Ogos 2010, Kelantan, yang dikuasai PAS telah memfailkan saman terhadap Petronas kerana gagal membayar royalti minyak dan gas di kawasan perairannya termasuk Terengganu, Thailand dan Vietnam yang mana telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan persekutuan.

Difahamkan Petronas berhutang sejumlah RM800 juta setiap tahun sejak 2005 namun Putrajaya menafikan dakwaan itu terhadap kawasan perairan lokasi kerjasama tersebut.

Najib menegaskan, hari ini “dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.”

Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

“Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum,” katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara.

Bagaimanapun, perdana menteri menjelaskan pada November 2009, beliau telah mengumumkan di Parlimen pemberian bayaran tunai kepada Kelantan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.”

– THE MALAYSIAN INSIDER

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");