Jenayah

Sahutan jiran tidak berjawab

JELEBU: “Perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah keselamatan kedua-dua jiran itu kerana kedua-duanya tidak menyahut apabila nama mereka dipanggil berulang kali,” kata Siti Zaleha Abas, 61, mengenai jirannya, Zahari Hasan, 79, dan Mariam Abd Latif, 69, yang rentung selepas rumah mereka di Felda Pasoh Satu, Simpang Pertang, dekat sini, musnah dalam kebakaran jam 4.15 pagi semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Siti Zaleha yang tinggal bersebelahan rumah pasangan peneroka Felda berkenaan berkata, pada mulanya dia menyangkakan kanak-kanak bermain mercun apabila mendengar letupan kecil.

“Saya menyangka letupan itu berpunca budak-budak bermain mercun, namun mustahil mereka bermain awal pagi.

“Rasa tidak sedap hati menyebabkan saya keluar untuk melihat dan tergamam kerana rumah jiran sedang dijilat api.

“Saya menjerit meminta tolong sebelum beberapa jiran datang membantu. Mereka cuba membuka pintu, namun gagal kerana rumah terbabit dipasang jeriji,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Zaleha yang sebak dengan kejadian itu, pada awalnya penduduk yang datang juga menyangkakan Zahari dan Mariam tiada di rumah dan pergi ke masjid kerana motosikal mereka tiada, namun terkejut apabila mayat suami isteri itu ditemui oleh anggota bomba.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Mariam ketika sembahyang Tarawih di Masjid Felda Pasoh Satu dan keadaannya tidak ceria seperti biasa.

“Arwah pernah bercerita mengenai rumahnya yang dimasuki pencuri menyebabkan kerugian RM500,” katanya.

Adik Mariam, Halimaton Saadiah, 50, dari Gemas, pula menyatakan kali terakhir dia bertemu kakaknya itu seminggu sebelum Ramadan.

Katanya dia juga ada menghubungi mangsa Khamis lalu, kira kira jam 4.15 petang dan bertanya khabar.

“Dalam perbualan itu arwah kakak berbual seperti biasa dan saya tidak perasan apa-apa yang pelik sepanjang perbualan kami.

“Saya juga ada menghubungi kakak kira-kira 4 pagi tadi (semalam), namun tidak berjawab, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Nizam Sapaiee, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.30 pagi.

“Sepasukan bomba membabitkan enam anggota dari Balai Bomba Simpang Pertang dikerahkan ke tempat kejadian dan sampai pada jam 4.46 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, 80 peratus rumah terbakar dan api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit serta padam sepenuhnya, jam 5.45 pagi,” katanya.

Nizam berkata, operasi turut dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol.

“Kita menemui mayat mangsa yang rentung pada jam 5.50 pagi dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah berkenaan. Bagaimanapun, punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");