Sukan Hari Ini

Sukan Paralimpik 2012 buka tirai

Atlit paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli membawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia dalam upacara perasmian Sukan Paralimpik Ke-14 di London, semalam.

London: Langit di sekitar Stadium Olimpik di Stratford, yang terletak di Timur London, sekali lagi terang benderang disinari percikan bunga api yang menyerikan upacara perasmian Sukan Paralimpik Ke-14, semalam.

Ratu England, Queen Elizabeth II merasmikan upacara penuh gilang gemilang itu bagi menandakan bermulanya temasya selama 11 hari yang disertai lebih 4,000 atlit kurang upaya dari 166 negara – penyertaan paling ramai dalam sejarah.

Upacara perasmian membuka tirainya pada pukul 8.30 malam (3.30 pagi waktu Malaysia).
Kontinjen Malaysia

Seramai 80,000 penonton yang membanjiri stadium itu terpukau oleh kehebatan dan keistimewaan persembahan yang dijayakan oleh 3,200 peserta.

Persembahan bertajuk “Enlightenment” itu diarahkan bersama Jenny Sealey dan Bradley Hemmings, yang sudah berganding bahu menjayakan beberapa persembahan teater luar sejak sekian lama.

Pada 9 malam (4 pagi waktu Malaysia), anggota kontinjen dari 166 negara mula berarak masuk ke stadium mengikut susunan abjad ejaan nama negara masing-masing, bermula dengan Afghanistan.

Kontinjen Malaysia, yang dianggotai 23 atlit, 12 jurulatih dan enam pegawai pasukan, diketuai Chef-de-Mission Datuk Seri Zolkples Embong dan pembawa Jalur Gemilang Mohd Ziyad Zolkefli menyertai perbarisan itu pada 10 malam (5 pagi waktu Malaysia).

Mereka memakai pakaian yang hampir sama dengan yang digunakan anggota kontinjen Olimpik Malaysia.

Lelaki berpakaian baju Melayu berjalur kuning dan hitam, yang dipadankan dengan kot luar merah dan bertanjak, manakala wanita pula memakai kebaya dengan motif serupa dan berselendang merah.

Antara orang kenamaan Malaysia yang menyaksikan upacara itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPC Datuk Zainal Abu Zarin.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");