Berita Hari Ini

Terus sandar harapan kepada BN, bukan pada individu

BEAUFORT: Rakyat di Sabah hendaklah terus menyandarkan harapan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berupaya membela nasib rakyat dan bukannya pada pada mana-mana individu, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pemimpin akan datang dan pergi namun perjuangan parti perlu diteruskan.

“Kita tidak boleh menyandarkan masa depan kita kepada mana-mana individu. Masa hadapan kita telah kita gantungkan kepada parti yang terbukti boleh membela kita iaitu Umno dan BN.
“Individu saja tidaklah penting…apa yang penting ialah parti. Saya masih ingat semasa kakak saya bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menentang calon BN (Datuk Jainab Ahmad) di Karambunai dulu. Saya pastikan dia kalah dan dia kalah. Bukan soal keluarga, bukan soal kawan tapi ini soal perjuangan,” katanya.

Salleh berkata demikian di satu majlis bersungkai dan solat Tarawih bersama rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di perkarangan rumah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun di Kampung Limbawang, dekat sini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata, politik adalah untuk kebaikan masyarakat dan negara tetapi bukannya perjuangan untuk seseorang individu.

“Politik bukan sekadar untuk diri sendiri. Politik itu untuk membangun masyarakat. Kita tidak boleh mendengar (dakyah) pihak lawan (parti pembangkang) kerana janji mereka itu adalah janji manis semata-mata,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu turut mengingatkan agar anggota Umno sentiasa bersatu padu bagi memastikan kejayaan dan masa depan bangsa dan negara terus terjamin.
“Suatu ketika dulu, kita berpecah belah. Akhirnya Umno menyatupadukan kita, pemimpin dan masyarakat.

“Kita perlu bersatu padu. Kalau kita berpecah bukan mudah untuk kita menyatukan semula. Benda yang baik ini kena pelihara demi masa hadapan kita,” katanya sambil menambah bahawa keikhlasan dalam perjuangan amat penting bagi memastikan Umno and BN terus kukuh di Sabah.

Sehubungan itu, Salleh mengajak rakyat negeri ini supaya memberi sokongan padu berterusan kepada BN pada pilihan raya yang akan datang demi masa depan negara yang cerah.

– BERNAMA
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");