Jenayah

Banduan Tempatan, Asing Jejas Ketenteraman Awam Tidak Dibenar Pindah Penjara

Banduan tempatan dan asing yang menghadapi hukuman mati dan disifatkan boleh menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman awam, tidak dibenar pindah penjara.

Ia adalah perkara yang terkandung dalam Rang Undang-undang Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Apabila diluluskan, rang undang-undang itu akan dikenali sebagai Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012.

Di bawah rang undang-undang itu, dua faktor lain yang turut diambil kira untuk menolak sesuatu permohonan pemindahan banduan ialah proses pemindahan yang menyebabkan tanggungan beban berlebihan ke atas sumber kewangan negara atau pemindahan itu melibatkan langkah bertentangan dengan sebarang undang-undang.

Syarat pemindahan turut menggariskan permohonan bagi pemindahan dibuat sekurang-kurangnya enam bulan daripada hukuman yang belum dijalani tanpa mengambil kira sama ada banduan itu dilepaskan atas parol atau selainnya.

Rang undang-undang itu juga menyatakan seorang banduan layak dipindahkan dari Malaysia ke negara asing jika banduan itu adalah rakyat negara berkenaan atau mempunyai hubungan komuniti dengan negara itu.

Pada masa sama, hanya banduan warganegara Malaysia layak dipindahkan ke negara ini dari negara asing.

Di bawah rang undang-undang itu juga semua banduan terbabit yang dipindahkan ke atau dari Malaysia boleh dihantar pulang ke negara asal untuk menjalani baki hukuman masing-masing.

Menurut undang-undang itu pemindahan banduan akan dilaksanakan melalui hubungan dua hala jika kedua-dua negara bersetuju untuk menandatangani perjanjian bagi melaksanakan pemindahan banduan antara negara.

Selepas dilulus dan dikuatkuasakan, Akta itu hendaklah terpakai bagi negara asing tertakluk kepada sebarang sekatan, kecualian, ubah suai, penyesuaian, syarat atau batasan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah.

Akta itu juga tidak menyekat kuasa negara asing untuk memberi ampun, tunda hukum atau lega hukum berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan atau peremitan, penggantungan atau meringankan hukuman kepada banduan mengikut undang-undang negara asing yang ditetapkan, begitu juga sebaliknya bagi banduan warga Malaysia yang akan dipindahkan ke negara asal.

– BERNAMA –

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");