Perak Hari Ini

Program Wacana Perlu Dimartabatkan: Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan program wacana merupakan pendekatan baik bagi memartabatkan semula aktiviti kewacanaan yang semakin terpinggir dalam dunia yang serba canggih dan moden.

Beliau berkata, masyarakat dilihat semakin kehilangan nilai penting yang membentuk jati diri bangsa itu sendiri.

“Ada segelintir yang menganggap aktiviti wacana sebagai membuang masa,” kata beliau.

Dr Zambry berkata demikian ketika berucap di Majlis Wacana Ilmu Digarhayu Tuanku karya Kamariah Nuri di kediaman rasmi Menteri Besar, di Ipoh, sebentar tadi.

Menurutnya lagi, penghayatan serta proses pembelajaran bahasa adalah penting bagi melihat istilah serta perkataan yang begitu puitis sifatnya.

“Penting untuk memperkayakan bahasa kerana bahasa bukan sesuatu yang mati, bahasa sentiasa maju,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam arus transformasi kini, penggunaan bahasa antara Melayu dan Inggeris turut dicampur-adukkan.

“Campur aduk bahasa yang berlaku turut menggambarkan campur aduk fikiran yang tiada jati diri,” jelasnya lagi.

Di samping itu, menurut beliau lagi, program itu juga dilihat mampu menggerakkan tradisi dalam menjadikan Perak sebagai negeri yang mengutamakan pendidikan.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Dr Harun Mat Salleh, berkata pengiktirafan Digarhayu Tuanku merupakan usaha DBP memperkasakan persuratan khususnya dalam konteks kesusasteraan.

“Majlis seumpama ini yang mengiktiraf karya Kamariah Nuri merupakan pemangkin dan pelopor kepada badan penulis di setiap negeri dalam penghayatan karya sastera dan persuratan.

“Selain itu, ia juga merupakan usaha DBP dalam melestarikan budaya dan citra Melayu supaya berkembang mekar,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, karya penulis kelahiran Perak itu begitu unik dengan puisi yang boleh digunakan dalam pelbagai majlis seperti keputeraan sultan, majlis perkahwinan dan sambutan ulangtahun.

Menurutnya, karya Kamariah bukan sahaja terbatas kepada karya puisi, gurindam dan syair yang bersifat kreatif tetapi juga puisi catitan sejarah.

“Puisi bertajuk ‘Sembilan’ adalah catitan mengenai Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan penulisan karya Kamariah begitu indah, lembut dan bersahaja serta cukup memberi kesan melalui mesej yang ingin disampaikan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");