Perak Hari Ini

Sidang DUN Perak Ke-12: Perak Laksana Pelbagai Usaha Promosi Lembah Lenggong

Selepas diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), kerajaan negeri Perak melaksanakan pelbagai usaha untuk membawa ‘Lembah Lenggong’ ke persada dunia.

Exco Pelancongan, Datuk Hamidah Osman berkata, persiapan terperinci telah dilakukan bagi menangani kebanjiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Pada Mei lalu, kerajaan negeri telah menaik taraf Muzium Darul Ridzuan yang memuatkan artifak mengenai Lembah Lenggong sebagai kesedaran awam bagi tujuan pelancong diberi pendedahan awal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperbanyakkan program kesedaran awal mengenai tapak tinggalan sejarah yang ada di negeri Perak.

“Tourism Perak telah menyediakan risalah, mengajak para wakil media tempatan dan antarabangsa untuk diberi penerangan dan mempromosikan Lembah Lenggong,” tambah beliau.

Hamidah berkata demikian selepas menjawab soalan lisan ADUN Kenering, Dato Mohd Tarmizi Idris disesi soalan lisan persidangan DUN Perak.

Tambahnya, Jabatan Warisan tidak ketinggalan memainkan peranan dengan membina papan tanda arah di susur keluar ke Lembah Lenggong.

Pelancaran aplikasi pintar yang diumumkan baru-baru ini juga merupakan usaha promosi menarik kehadiran pelancong ke negeri Perak dengan cepat, mudah dan selesa.

Mengenai perancangan menyediakan kemudahan serta infrastruktur di tapak warisan itu, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan sejumlah RM520,000 dalam satu pelan Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengekalkan tapak arkeologi itu.

“Pelan RKK yang dirangka itu melibatkan pemuliharaan tapak, pengurusan, sistem maklumat, asas sosio-ekonomi dan lain-lain lagi,” tambah beliau.

Pelan berkonsepkan pembangunan secara berfasa itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf tempat penginapan, mengenalpasti 10 buah kawasan sekitar Lembah Lenggong yang berpotensi dijadikan homestay, melaksanakan kursus ‘nature guide’ untuk melahirkan pemandu pelancong.

Hasil usaha promosi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri, Galeri Lembah Lenggong telah menerima peningkatan pengunjung hampir 10 peratus berbanding dahulu.

Jika dahulu hanya 2,000 pengunjung, kini galeri itu mencatat kunjungan hingga 4,000 pengunjung sebulan selepas ia diikftiraf oleh UNESCO.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");