Perak Hari Ini

Zambry Sedia Bersumpah Dalam Masjid Bersama Anwar

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 menjadi panas apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming dicabar supaya memanggil Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersumpah di mana-mana masjid berikutan tuduhan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pernah merayu kepada ketua pembangkang itu untuk mengisi jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya 2008.

Bercakap pada sidang media selepas persidangan selesai, Zambry berkata, tuduhan Kor Ming itu adalah tindakan tidak bermoral, tidak bertanggungjawab selain satu penghinaan kepada dirinya sebagai ADUN Pangkor.

Isu itu berbangkit apabila Adun Tronoh, V Sivakumar membentangkan usul lompat parti untuk dibahaskan oleh wakil rakyat baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Ketika sesi perbahasan itu berlangsung, Kor Ming bangun mencelah dan menyatakan beliau mendengar cerita bahawa Zambry pernah merayu kepada Anwar untuk mendapatkan jawatan MB Perak.

Zambry kemudiannya bangun dan menegaskan beliau tidak akan meninggalkan perjuangannya walau dengan apa cara sekalipun.

Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang sedang membahaskan usul berkenaan ketika itu berkata, beliau tidak mengetahui tentang dakwaan itu.

“Apa yang dikatakan tadi saya tidak tahu tapi saya tahu (Adun) Pangkor memang rapat dengan ketua umum (Anwar) saya. Ada offer (tawaran) ke, tak ada offer, saya tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, perbahasan berhubung usul itu menjadi hangat apabila Adun Barisan Nasional (BN) dan pembangkang saling tuduh-menuduh mengenai budaya lompat parti.

V Sivakumar (DAP-Tronoh) yang membentangkan usul itu berkata lompat parti di kalangan Adun adalah suatu perkara yang serius.

“Rakyat mengundi kepada sesuatu parti yang dipilihnya untuk kawasan DUN dan Parlimen. Oleh yang demikian, wakil rakyat yang menang tidak boleh dibenarkan untuk melompat parti sesuka hatinya,” katanya.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Dewan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");