Perak Hari Ini

Usul Lompat Parti Buka Pekung, Kelemahan Pembangkang

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan tindakan pembangkang yang membawa usul lompat parti pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 sebagai satu tindakan silap yang akhirnya membuka pekung atau kelemahan mereka kepada pengetahuan umum.

Zambry berkata, pihak pembangkang menganggap seolah-olah mereka tidak pernah melakukan perkara itu dan sidang dewan hari ini telah memberi peluang kepada dua wakil yakni di pihak kerajaan dan pembangkang untuk membahaskan usul itu yang dibentangkan oleh Adun Tronoh, V Sivakumar.

“Kita beri peluang kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang untuk berbahas dan berhujah bagi mengetahui siapa yang benar dan siapa yang bercakap bohong.

“Tetapi, mereka (pembangkang) ambil strategi silap dengan membawa usul anti-lompat parti ini kerana ia melondehkan lagi pekung serta menampakkan lagi sikap mereka yang sebenarnya,” katanya kepada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12 di Ipoh, hari ini.

Jelas Zambry berkata, perkara itu juga seharusnya dirujuk terlebih dahulu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat jolokan sebagai Raja Lompat Parti.

Terdahulu,  Sivakumar yang membawa usul itu menyatakan lompat parti dari kalangan ADUN adalah sesuatu yang perlu dipandang serius dan tidak boleh digalakkan.

Katanya, rakyat mengundi kepada sesuatu parti yang dipilihnya untuk kawasan DUN dan Parlimen dan wakil rakyat yang menang itu tidak boleh dibenarkan untuk melompat parti sesuka hati.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, difahamkan pihak pembangkang juga berbelah bahagi berhubung perkara ini dan seolah-olah tidak selesa dan berat hati untuk membahaskan usul berkenaan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana mengeluarkan tuduhan yang beliau pernah merayu kepada Anwar untuk mengisi jawatan Menteri Besar Perak.

“Kor Ming perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana mengeluarkan tuduhan keterlaluan itu yang menunjukkan seolah-olah saya tiada harga diri langsung.

“Bagi saya, ia satu perbuatan yang jijik, tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Selain itu, rakyat Perak katanya, perlu mendapat penjelasan apa yang sebenarnya berlaku di Perak selama ini hingga pembangkang menuduh BN sebagai kerajaan perampas dan lanun.

Kenyataan itu tambah Zambry, seharusnya dipulangkan kepada pihak pembangkang sendiri kerana mereka yang memulakan prosiding mahkamah apabila mantan Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bertindak mencabar jawatan Menteri Besar dengan membawa kes itu ke mahkamah.

Sementara itu, Zambry berkata, sidang dewan hanya bersidang satu hari berdasarkan kepada peruntukan dalam undang-undang di mana sidang perlu diadakan dalam jangka masa enam bulan.

“Ketika ini, kita sedang dalam persiapan pembentangan Bajet 2013 dan sidang dewan hari ini diadakan bagi penuhi keperluan sidang dalam tempoh enam bulan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");