Berita Hari Ini

1Azam bantu meningkatkan ekonomi wanita

Jika dahulu, wanita lebih sinonim dengan status sebagai suri rumah namun pandangan itu berubah selari dengan 50 tahun kemerdekaan apabila wanita hari ini menjadi sebahagian daripada penyumbang utama ke arah mencapai status negara maju.

Hal ini ketara melalui pelbagai komitmen kerajaan bagi memperkasakan keupayaan wanita dalam pembangunan dan pentadbiran negara termasuk memperkukuh serta membangunkan ekonomi golongan hawa.

Perniagaan pula dilihat sebagai satu cabang yang mampu meningkatkan peranan wanita menerusi pelbagai bidang seperti peruncitan, penternakan, kesihatan serta penghasilan makanan.

Hasilnya ternyata memberangsangkan apabila terdapat kira-kira 3,800 usahawan wanita berjaya dilahirkan, menghampiri sasaran 4,000 usahawan wanita menjelang akhir tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 dekat sini.

Antara pengisian yang diatur bagi membangunkan ekonomi golongan itu adalah dengan memberi latihan teknikal, penyediaan kursus asas keusahawanan serta tidak ketinggalan, Program 1Azam.

Objektif program yang diperkenal pada 2012 itu adalah untuk menyediakan peluang menjana pendapatan rakyat yang berpendapatan rendah melalui pertanian, perniagaan kecil-kecilan serta menyediakan peluang pekerjaan.

Sehingga 30 September tahun ini, seramai 64,191 wanita menyertai 1Azam di seluruh negara melibatkan perbelanjaan RM475,221,070.

Walaupun program ini, tidak memberi fokus kepada golongan wanita semata-mata namun ia terbukti berjaya meningkatkan pertumbuhan wanita dalam perniagaan melalui empat cabang program iaitu Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat.

Bagi menyahut seruan kerajaan menggalakkan wanita terlibat dalam perniagaan, ibu tunggal Zabidah Abdul Hamid, 57, mengorak langkah menyertai 1Azam demi untuk meningkatkan taraf hidup beliau dan anak-anak.

Berbekalkan pelbagai kemahiran membuat kek, kuih moden dan tradisional, yang diperoleh hasil daripada menyertai pelbagai jenis kursus, penyertaan Zabidah di dalam 1Azam membantunya memasarkan dan mempromosi Elasma Enterprise dengan lebih meluas ke lokasi sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Penglibatan saya dalam 1Azam bermula apabila dipilih oleh Jabatan Pembangunan Wanita untuk menyertai program ini. Melaluinya saya diajar supaya lebih berdikari dan bijak menggunakan peluang yang diberi sebaik mungkin.

“Segala-galanya telah disediakan 1Azam termasuk peralatan membuat kek, kursus usahawan, kemahiran pemasaran serta kemahiran menggunakan internet bagi meluaskan promosi produk kami jadi siapa yang menyertai program ini perlu bertanggungjawab dan jalankan amanah (perniagaan) yang disediakan sebaik mungkin,” kata peserta Azam Niaga itu ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan.

Ibu kepada lima anak itu turut melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan kerana sehingga hari ini kehidupannya lebih selesa dan berjaya memperoleh pendapatan kasar RM3,000 sebulan berbanding hanya RM300 sebelum menyertai program ini.

Perasaan sama turut dikongsi Prema Rajoo, 53, yang mengusahakan perniagaan memproses rempah ratus sejak tahun 1962 lagi.

Beliau berkata setelah menyertai 1Azam tahun lepas, proses membuat pinjaman kewangan lebih mudah yang hingga kini membolehkannya membeli peralatan lengkap untuk memproses rempah di rumah.

“Yang lebih membanggakan rempah keluaran saya mendapat sambutan bukan sahaja dalam negara malah hingga ke Jepun, England dan Amerika Syarikat. Ini semua adalah hasil bimbingan kerajaan,” katanya yang mengeluarkan kira-kira 15 jenis produk rempah.

Prema yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 turut bersyukur kerana dengannya beliau berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga dan berkemampuan untuk memiliki rumah dan kenderaan sendiri.

Tidak terhad kepada wanita di Semenanjung, golongan hawa di Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat yang sama seperti Jiclyn Furud @ Furet, 32, yang berasal dari etnik Lundayeh.

Kemahirannya dalam bidang andaman dan solekan kini semakin berkembang dan memberikan hasil yang lumayan setelah menyertai 1Azam apabila beliau dijangka untuk membuka sebuah kedai di Kota Kinabalu pada bulan depan.

“Selain memiliki kemahiran mengandam dan solekan, 1Azam juga menyediakan kursus sampingan lain yang berkaitan seperti penjagaan kuku, urutan dan spa.

Jadi program (1Azam) ini turut memberi nilai tambah kepada wanita supaya kita dapat mempertingkat lagi diri dan kehidupan,” katanya.

Dalam masa yang sama penerima Anugerah Pencetus Ekonomi Baru pada sambutan Hari Wanita peringkat Kebangsaan 2012 turut berharap lebih ramai wanita di Sabah yang mempunyai kemahiran tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengembangkannya  supaya menyertai 1Azam.

– BERNAMA –

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");