Jenayah

Dirotan cikgu sakit mental

Chee (tengah) ditemani Pei-Pei (kanan) dan Choon Lan menunjukkan gambar anak masing-masing yang mengalami kecederaan akibat dirotan seorang guru semasa sidang media.

SUNGAI DUA – Hanya kerana gagal mewarnakan tugasan yang diberi serta tulisan terlalu kecil, beberapa pelajar sebuah sekolah rendah di Sungai Dua di sini mendakwa dirotan oleh seorang guru dipercayai menghidap masalah mental baru-baru ini.

Malah guru terbabit juga mengugut pelajar terbabit untuk mengenakan hukuman lebih keras jika ibu bapa masing-masing dimaklumkan serta datang mencarinya di sekolah.

Beberapa orang waris yang terkejut dengan kejadian menimpa anak mereka itu kemudian bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua semalam serta mendesak Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pihak sekolah terbabit.

Ini kerana mereka mendakwa guru besar sekolah terbabit seolah-olah membiarkan perkara itu berlaku serta tidak mengambil tindakan terhadap perlakuan guru tersebut.

Seorang peniaga, Chang Phei Phei, 33, berkata dia kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya Jumaat lalu apabila murid tahun dua itu dirotan kerana gagal mewarnakan tugasan di dalam buku matematiknya.

“Anak saya menangis ketika pulang ke rumah dan menunjukkan kesan lebam di punggung akibat dirotan oleh seorang guru di sekolahnya.

“Beberapa bulan lalu, saya pernah membuat aduan kepada pihak sekolah berkaitan tindakan seorang guru merotan anak saya kerana kesalahan kecil yang dilakukan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai Soon Lip Chee, di sini semalam.

Tambahnya, dia hairan kenapa pihak sekolah masih mengekalkan guru yang dikatakan mengalami masalah mental untuk mengajar di sekolah itu kerana ia hanya akan membawa kesan buruk kepada mental murid-murid.

Bagi suri rumah, Yu Choon Lan, 41, anak perempuannya yang berusia 10 tahun juga pernah dirotan di tapak tangannya sebanyak tiga kali pada 28 September lalu hanya kerana tulisan tangannya terlalu kecil ketika menyiapkan karangan.

“Anak saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bimbang akan terus dipukul di sekolah sekiranya saya mengadu perkara itu kepada pengurusan sekolah.

“Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya, doktor memaklumkan urat tangannya tercedera akibat dipukul,” katanya yang tidak boleh bersabar dengan tindakan keterlaluan guru terbabit.

Sementara itu, Lip Chee berkata, beliau akan mengiringi ibu bapa terbabit untuk membuat laporan mengenai perkara itu di Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang hari ini bagi menyelesaikan masalah itu.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");