Perak Hari Ini

399 Imam Dari Tiga Daerah Dapat Tauliah Daripada MAIPk

Seramai 399 imam dari Daerah Kinta, Kampar dan Batang Padang menerima tauliah pelantikan sebagai pegawai masjid daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tempoh tiga tahun, berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Penyerahan tauliah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Penganugerahan Tauliah Pegawai Masjid (Imam) yang berlangsung di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Yusop berkata, pentauliahan hari ini melibatkan pegawai masjid yang mewakili 144 buah masjid dari ketiga-tiga daerah terbabit.

Katanya, pelantikan imam tersebut adalah berdasarkan kriteria melalui proses temuduga yang dikendalikan oleh mufti serta jawatankuasa fatwa.

“Kita melantik mereka berdasarkan kepada kebolehan dari segi bacaan dan tajwid malah tahap kesihatan bakal imam juga dititikberatkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Di samping itu, jabatan agama turut memberi galakan kepada orang muda khasnya yang berkebolehan untuk mengisi jawatan sebagai imam di masjid dan surau.

Katanya, sebagai generasi muda, mereka sewajarnya melihat kekosongan yang ada itu sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi untuk menggantikan generasi imam yang terdahulu.

“Saya berharap mereka (generasi muda) tidak melihat profesion imam sebagai satu tugas yang membebankan,” tambah beliau.

Setakat ini, kira-kira 50 peratus imam pelapis yang berumur di bawah 40 tahun berjaya dilahirkan di Perak hasil daripada program yang dijalankan oleh JAIP.

Walaupun belum terdapat kekosongan imam di masjid ataupun surau, pencarian imam pelapis adalah sebagai persediaan dalam memberi latihan kepada mereka sebelum ditauliahkan oleh MAIPk.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");