Perak Hari Ini

Baca Khutbah Ikut Teks

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Mohd Yusop Husin hari ini mengingatkan hanya imam yang ditauliahkan dibenar membaca khutbah di masjid dan surau di negeri tersebut.

Menurut beliau, JAIP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah melanggar peraturan tersebut.

“Bukan imam tak boleh baca khutbah. Yang tidak dilantik sebagai imam termasuklah penceramah jemputan tidak boleh baca khutbah,” katanya kepada pemberita.

Mohd Yusop ditemui selepas menghadiri majlis Penganugerahan Tauliah Pegawai Masjid dari tiga daerah di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), hari ini.

Jika didapati bersalah, mereka akan didakwa di bawah kesalahan Kaedah-kaedah Pegawai Masjid 1998 yang boleh membawa hukuman penjara selama enam bulan serta denda RM1,000.

Menurut beliau lagi, mana-mana pihak yang ingin menjemput penceramahan jemputan haruslah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak JAIP.

“Tindakan juga akan dikenakan kepada penceramah serta pihak yang terlibat menjemput penceramah kerana dituduh bersubahat dan melanggar peraturan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan imam supaya menyampaikan khutbah mengikut teks khutbah yang telah disediakan.

“Imam yang menyampaikan khutbah tidak seharusnya menokok tambah atau mengurangkan bacaan khutbah yang disediakan,” jelasnya.

Mohd Yusop berkata, penambahan bacaan teks khutbah itu tidak hanya tertumpu kepada elemen politik sahaja kerana ia turut melibatkan apa jua perkara yang mampu mengundang kontroversi.

Setakat ini, sebanyak empat kes berjaya dikesan oleh pihak JAIP atas kesalahan terbabit dan amaran telah dikeluarkan agar perkara tersebut tidak berulang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");