Perak Hari Ini

DS Zambry Meriahkan Majlis Pemberian Derma Kelab Belia Bersatu

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama lebih 2,000 tetamu memeriahkan majlis makan malam dan sumbangan derma anjuran Kelab Belia Bersatu (KBB) yang berlangsung di Restoran Bei King, dekat Sitiawan, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan beberapa tetamu kehormat termasuklah Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha, Penasihat Khas kepada Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn dan Speaker negeri, Datuk R Ganeson.

Dr Zambry dalam ucapannya, berkata program seumpama itu dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang bangsa.

Tegasnya, jika perpaduan antara rakyat dapat dikekalkan, maka negeri khususnya dan Malaysia amnya pasti dapat membangun dengan aman dan makmur.

“Hasil keamanan yang dikecapi Perak hari ini, dalam tempoh tiga tahun lalu, Daerah Manjung misalnya semakin maju dan pesat membangun.

“Selain kerajaan, rakyat perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan berlakunya sengketa atau pergaduhan seperti yang melanda negara Timur Tengah dan Syria.

“Keadaan ini pastinya akan mencetuskan huru-hara dan tiada lagi keamanan dinikmati rakyat jika ia berlaku,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, selain terus menjana ekonomi negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga bertanggungjawab untuk memastikan keamanan yang dikecapi terus berkekalan.

Menurutnya, selaku Menteri Besar, beliau memikul amanah untuk memastikan negeri Perak kekal aman dan rakyat dapat hidup tanpa rasa bimbang atau takut.

Sebarang masalah yang menjurus kepada perpecahan katanya, akan segera diatasi bagi memastikan hubungan dan jalinan perpaduan sedia ada dapat terus dipertahankan demi kepentingan semua rakyat di negara ini.

Pada majlis itu juga, KBB turut menyerahkan sumbangan derma kepada beberapa badan kebajikan di Daerah Manjung antaranya rumah kebajikan orang tua dan persatuan ibu tunggal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");