Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, peruntukan itu membuktikan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan seluruh warga ATM dalam mendepani cabaran mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 125,708 pegawai dan anggota ATM bermula 1 Jan depan melibatkan peruntukan sebanyak RM301 juta.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemberian sumbangan RM1,000 secara ‘one-off’ atau dibayar sekali saja kepada 224,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan selepas berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, serta memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.
Skim itu dijangka akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang bertugas.
“Selain peruntukan dan insentif yang telah diumumkan, kehadiran timbalan perdana menteri membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan dekat dengan pasukan keselamatan ini,” katanya.