Perak Hari Ini

Janji Ditepati, RPT Perwira Dilancarkan Dengan 7,000 Lot Kediaman Ditawarkan

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini melancarkan projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira di Sungai Tumboh, Mukim Bota.

Projek yang julung-julung kali diperkenalkan di negara ini bertujuan memberi peluang kepada bekas perajurit untuk memiliki rumah sendiri.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Zambry berkata, projek yang menawarkan kira-kira 7,000 lot kediaman di seluruh negeri dilaksanakan dengan kerjasama Koperasi Perumahan Angkatan Tentera Berhad (KPATB).

“Saya berharap bekas perwira yang ditawarkan tanah kediaman ini dapat menikmati taraf hidup yang baik dan selesa.

“Selepas setahun diumumkan, kerajaan negeri berjaya melaksanakan projek RPT Perwira yang kini menjadi contoh ikutan bagi negeri lain pula.

“Melalui idea bernas ini, bekas tentera dan polis mendapat kemudahan untuk memiliki rumah sendiri kerana majoritinya masih ramai lagi yang belum mempunyai kemudahan berkenaan,” katanya lagi.

Untuk projek RPT Perwira di Sungai Tumboh, sebanyak 800 lot kediaman ditawarkan dan rumah yang dibina berkonsepkan banglo dibahagikan kepada empat kategori dan berharga dari RM75,000 hingga RM195,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berharap projek RPT Perwira tidak dipolitikkan mana-mana pihak kerana ia merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan rumah kepada rakyat.

Jelasnya, rakyat tidak perlu rasa tergugat kerana kerajaan negeri sentiasa mengenalpasti kawasan bersesuaian untuk dibangunkan sebagai kawasan RPT.

Selain Pejabat Tanah Daerah, kerajaan negeri juga katanya telah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengenalpasti kawasan baru bagi membangunkan lebih banyak kawasan RPT di Perak.

Setakat ini, terdapat sejumlah 70 RPT di seluruh Perak yang membabitkan kira-kira 200,000 penduduk.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu RPT Perwira, Datuk Ramly Zahari dalam ucapannya, berkata 16 kawasan akan dibangunkan dengan projek itu, 10 daripadanya dikhaskan untuk lot kediaman bekas perajurit sahaja.

Selain Sungai Tumboh 1, kawasan lain yang dikenalpasti ialah Changkat Kinding, Kayan, Kuala Trong, Grik, Bagan Lawin, Pusing, Suak Pelang dan Batang Padang.

Ia membabitkan kawasan seluas 3,616.4 hektar manakala enam lagi kawasan seluas kira-kira 45 hektar akan dibangunkan sebagai RPT awam dengan 30 peratus kawasan itu dikhaskan untuk lot kediaman bekas tentera dan polis di bawah RPT Perwira.

Kawasan RPT awam yang sebahagiannya akan dibangunkan dengan RPT Perwira itu terletak di Tapah, Bandar Baru Segari, Manjung, Mukim Belanja 1 dan Belanja 2.

Sementara itu, bekas perajurit yang ditemui menyambut baik projek RPT Perwira yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang disifatkan mereka begitu prihatin dalam menjaga kebajikan golongan berkenaan yang pernah menabur jasa menjaga keselamatan negara.

Bekas tentera, Sulaiman Ramli dari Bota, berkata beliau sendiri amat berminat untuk menyertai RPT Perwira kerana ia memberi peluang kepada bekas tentera dan polis untuk memiliki rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

“Saya amat berminat untuk memiliki rumah ini untuk masa depan anak-anak dan semua bekas tentera perlu mengambil peluang keemasan ini kerana harga rumah yang ditawarkan lebih murah berbanding pemaju swasta kerana ia dibangunkan sendiri oleh Koperasi Perumahan Angkatan Tentera Berhad,” katanya lagi.

Bekas anggota tentera laut, Fauzi Mat Nor, pula berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengilhamkan idea bernas untuk membantu bekas perajurit memiliki rumah idaman mereka dengan memperkenalkan RPT Perwira.

“Saya juga tidak ketinggalan mengemukakan permohonan menyertai RPT Perwira di Segari dan amat berharap permohonan saya diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya yang kini tinggal menyewa di Manjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");