Jenayah

Mayat pemandu lori yang hilang Jumaat lalu ditemui

Anggota penyelamat menarik mayat mangsa lemas sebelum dibawa ke tebing dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

KUALA KANGSAR – Seorang pemandu lori yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, ditemui dalam keadaan terapung di tebing lombong di Kampung Sungai Buloh, di sini, pagi semalam.

Mayat Wong Yoke Kuan, 51, ditemui terapung kira-kira jam 8 pagi oleh anggota penyelamat lebih kurang 30 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh bersama lori yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Salim berkata, mayat mangsa dijumpai anggota penyelamat yang mahu memulakan operasi mencari mangsa dipercayai lemas di dalam kolam itu sejak tiga hari lalu.

“Ketika ditemui mayat mangsa masih lengkap berpakaian kemeja-T dan seluar panjang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam insiden jam 12 tengah hari Jumaat lalu, Yoke Kuan dipercayai terjatuh sebelum lemas ke dalam lombong sedalam lebih 21 meter ketika sedang melakukan tugas menurunkan tanah daripada lori muatan 10 tan yang dipandunya.

Azman berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, unit skuba bomba dan anggota Komando itu berakhir kira-kira jam 7 malam kelmarin, sebelum disambung semula pagi semalam.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat.

“Daripada hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");