Kolumnis

Mengapa Media Pro-Pembangkang Tidak Sertai Misi Bantuan KP1M Ke Myanmar?

SAYA sebenarnya baru beberapa hari pulang dari Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Myanmar bagi menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian, perubatan dan sebagainya yang dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Pergi ke wilayah bergolak di Rakhine, Myanmar, saya sebagai wakil media alternatif begitu teruja untuk membantu sedaya mampu umat Islam di wilayah berkenaan yang kini menderita akibar pergolakan dalaman yang membabitkan bangsa dan agama di situ.

Namun, saya agak pelik bila mendapat tahu bahawa dari seramai lebih kurang 20 orang wakil media yang menyertai misi itu, tiada seorang pun dari kalangan kami yang datang dari media pembangkang, khususnya PAS.

Hati saya bertanya, mana perginya wartawan Harakah atau Harakahdaily?

Mana perginya wartawan Malaysiakini atau Malaysian Insider?

Apakah mereka tidak berminat untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan tersebut sedangkan saya difahamkan oleh pihak penganjur bahawa mereka membuka penyertaan misi itu kepada semua media termasuk media pro-pembangkang.

Lagipun, boleh dikatakan setiap hari saya melihat Harakahdaily menyalak-nyalak di laman sesawangnya menulis tentang kemelut yang berlaku di Myanmar yang membabitkan saudara-saudara seagama kita di sana yang tertekan dan serba kekurangan.

Apakah media pro-pembangkang tidak mahu membantu, mengetahui, menyelami dan melaporkan dari tentang apa yang berlaku di “ground zero” di sana berbanding menulis secara persepsi sendiri tanpa mengalami pengalaman sebenar di sana?

Pada saya, sekiranya menyalak setiap hari di Harakahdaily, tindakan tersebut tidak lebih dari “anjing menyalak bukit” di mana ia tidak memberikan impak yang memberi kesan positif kepada penderitaan saudara-saudara kita di sana.

Kalaulah media pro-pembangkang enggan menyertai misi bantuan kemanusiaan itu disebabkan oleh penganjurnya yang bernaung di bawah gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka ia adalah alasan yang paling bodoh untuk diterima akal.

Apakah kerana perbezaan fahaman politik dan berlainan kem, maka ia akan menghalang kita dari bersatu untuk melahirkan rasa kemanusiaan kita untuk membantu sesama manusia?

Apatah lagi yang menderita di sana adalah 90 peratus umat Islam yang diancam kebuluran, penyakit berjangkit, tekanan perasaan, nyawa yang terancam serta kehidupan yang serba kekurangan, tidakkah media pro-pembangkang teringin untuk menolong sama?

Tidak bolehkah diketepikan dulu sentimen politik demi saudara seagama kita di Rakhine yang seolah-olah dihalalkan darah mereka oleh puak-puak pelampau yang mencetuskan konflik antara bangsa dan agama di sana?

Tidak bolehkah Harakahdaily, Malaysiakini, Malaysian Insider atau Suara Keadilan menunjukkan contoh yang baik dengan bersatu dengan KP1M untuk sama-sama membantu sesama manusia yang dilaporkan mengalami kematian pada hampir setiap hari?

Pada saya, media-media pro-pembangkang ini hanya “berani” menulis di sini sahaja, tapi bila tiba dalam hal perlaksanaan, mereka gagal untuk membuktikan penulisan mereka bak kata pepatah “cakap tak serupa bikin”!

Kalau betul anak jantan dan betul mahu membantu, kenapa tidak sertai misi KP1M ke Myanmar? Saya percaya Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Rahim tidak punya sebarang masalah untuk bersatu untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan tersebut.

Justeru itu, saya mencabar media pro-pembangkang, khususnya dari Harakah untuk menyertai misi-misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh KP1M ke negara-negara bergolak terutamanya di negara yang membabitkan umat Islam.

Bagaimana? Beranikah mereka seperti KP1M? Atau mereka hanya berani di “kampung” sendiri saja?

– PANDORA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");