Membawang Hari Ini

Michael Ang tidak mahu isu cium diperbesarkan

BERMULA dengan impian untuk membawa pelakon popular, Randy Pangalila ke Malaysia, Michael Ang akhirnya berjaya merealisasikan impiannya itu.

Malah, dia juga tidak menyangka, gandingan pertama Randy dengan pelakon bertubuh kecil molek, Elfira Loy mendapat sambutan hangat.

Namun, dalam kehangatan itu, ada beberapa pihak cuba memburukkan nama Michael dengan menyatakan dia mengambil kesempatan di atas populariti Randy untuk mendapatkan perhatian.

Malah, tidak kurang juga yang tidak berpuas hati, apabila Michael telah menayangkan tubuh Randy dalam telemovie Mimpi Sampai Ke Bintang dan beranggapan adegan itu tidak bersesuaian.

Menjelaskan situasi sebenar, Michael berkata, dia tidak pernah cuba untuk mengambil kesempatan atas populariti Randy dan membawa Randy ke

Malaysia atas faktor permintaan tinggi.”Saya menawarkan peluang lakonan kepadanya dalam projek-projek saya atas strategi perniagaan dan kebetulan Randy memang digemari di sini dan mendapat permintaan. Saya bukanlah mempergunakannya atau cuba memberi tawaran lakonan kepada pelakon luar.

Malah, selama ini saya juga membuka peluang kepada ramai anak seni tempatan,” katanya.

Michael berkata, penghasilan drama bersiri 13 episod, Dalam Hati Ada Taman ini juga adalah susulan daripada permintaan yang tinggi untuk melihat Randy digandingkan sekali lagi dengan Elfira.

“Selepas telemovie Mimpi Sampai Ke Bintang ditayangkan, ramai yang tanya bila saya nak gandingkan Randy dan Elfira lagi. Maka, selepas itu saya ambil keputusan untuk terbitkan drama bersiri pula.

“Walaupun ramai yang mahu saya buat filem, namun kita kena lihat juga selera peminat bagaimana. Jika drama ini mendapat sambutan yang menggalakkan, ia akan menjadi pembakar semangat buat saya menghasilkan filem pula,” ujarnya.

Michael berkata, dalam karya terbarunya kali ini, dia juga tidak lagi memaparkan babak Randy membuka baju, bagi menggelakkan menjadi mangsa kritikan.

“Saya mengambil iktibar dari pengalaman lalu dan tidak lagi memaparkan babak Randy berbaju. Bagaimanapun, kali ini mereka beralih pula kepada babak cium pipi.

“Namun ingin saya tegaskan di sini, mereka tidak bercium betul-betul pun. Ia hanya permainan kamera dan sudut hingga menampakkan mereka bercium dan babak seperti itu bukan baru lagi, malah secara realitinya juga, ada yang sudah menjadi kebiasaan,” jelasnya.

Pengalaman mengajar

Mengimbas pengalamannya mengarahkan drama ini di Kota Paris, Perancis, Michael berkata, dia sudah mendapat kelulusan dan permit dari negara berkenaan untuk melakukan penggambaran, namun peristiwa Randy terkandas di Dubai mengajarnya untuk bergerak serentak selepas ini.

“Walaupun terpaksa menunggu Randy lebih sehari di Paris, tapi ia tidaklah meninggalkan kenangan pahit buat saya. Namun ia lebih mengajar supaya selepas ini kalau ada penggambaran di luar, seeloknya bergerak sekali,” katanya sambil ketawa.

Michael berkata, Paris sebenarnya menjadi pilihan keduanya kerana dia sebenarnya ingin menjalani penggambaran di Florence, Itali pada musim bunga.

Namun, dek kekangan jadual yang sentiasa bercanggah, mereka akhirnya mengambil keputusan menjalani penggambaran di Paris yang juga lebih dikenali sebagai kota cinta.

“Cabaran utama saya adalah untuk menyelesaikan penggambaran dalam tempoh 19 hari kerana itu sahaja tempoh masa yang diberikan oleh Randy.

Selain terlibat dengan penggambaran bersama saya, dia juga terikat dengan penggambaran sinetron di sana.

“Tapi kerana saya bekerjasama dengan pelakon yang cukup berbakat, jadi mereka dapat memberikan lakonan yang cukup baik dan penggambaran akhirnya dapat diselesaikan dalam masa ditetapkan,” ujarnya.

Drama yang menjalani penggambaran pada Mei hingga Jun lalu di Paris, Perancis dan Kuala Lumpur itu mengambil masa selama 35 hari.

Selain Randy dan Elfira Loy, drama bersiri 13 episod itu turut dibantu Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah, Didie Alias, Amar Asyraf dan Hanez Suraya.

Ia bakal disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin jam 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).

Tunggu Randy

Menyentuh mengenai perancangan terbarunya, Michael berkata, dia akan memulakan penggambaran telefilem berjudul Demi Kau Cinta yang menggandingkan Erra Fazira dan Hanez Suraya.

Selain itu, dia juga dalam rangka perancangan untuk menerbitkan dua filem iaitu Darah Daging dan KL Meroyan menjelang hujung tahun ini.

“Salah satu filem tersebut akan menggandingkan Erra, Randy dan Elfira. Apatah lagi, Randy pernah mengakui teringin untuk bergandingan dengan Elfira. Apa-apa pun saya sedang menunggu kelapangan dan jadual Randy.

“Jika berjalan mengikut perancangan, kemungkinan penggambaran tersebut akan dilakukan pada bulan November ini,” ujarnya yang juga pemilik syarikat produksi Cube Film Sdn Bhd.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");