Perak Aman Jaya, Perak Hari Ini

300 Peserta Sertai Program Kecemerlangan Keluarga Amanjaya IDR

Seramai 300 peserta dari Daerah Kinta terpilih menyertai Program Kecemerlangan Keluarga Amanjaya 2012 anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) yang mendedahkan mereka dengan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dalam usaha membentuk keluarga yang harmoni, cemerlang dan gemilang.

Daripada jumlah itu, 102 peserta adalah golongan ibu bapa manakala selebihnya ialah remaja yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan tersenarai dalam katogeri e-Kasih.

Program sehari itu yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim, Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Dr Anjli Doshi Gandhi dan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Perak, Chong Phaik Kee.

Program berkenaan dibahagikan kepada tiga slot utama iaitu keibubapaan, anak remaja dan gabungan antara ibu bapa dan anak yang dikendalikan oleh ahli panel jemputan termasuklah penceramah motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Slot berkenaan antara lain membincangkan tentang pelbagai kesilapan lazim yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak samada dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

Pemuafakatan serta penglibatkan antara ibu bapa dan anak dapat diperlukan bagi mewujudkan kesan positif, sekaligus berupaya melahirkan keluarga yang cemerlang dan gemilang di masa depan.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian, Saarani yang juga Adun Kota Tampan, berkata keberkesanan program julung-julung kali dianjurkan IDR itu akan dipantau dari semasa-semasa bagi menilai perkembangan keluarga yang terpilih menyertai program berkenaan.

Setiap rekod keluarga yang tersenarai dalam katogeri e-Kasih ini katanya, akan disimpan sebagai rujukan agar matlamat program ini mencapai matlamat yang disasarkan oleh kerajaan negeri.

“Peserta program ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mereka ini tidak kira di pihak ibu bapa atau anak memerlukan motivasi untuk meneruskan kehidupan.

“Jika ibu bapa sering berasa rendah diri disebabkan oleh masalah kemiskinan, maka perasaan sama juga akan dirasai oleh anak mereka dan ini pastinya menjejaskan kehidupan sesebuah keluarga itu.

“Oleh itu, kerajaan negeri melalui IDR mengambil inisiatif menganjurkan Program Kecemerlangan Keluarga Amanjaya 2012 yang bertujuan memberi motivasi kepada golongan sasaran untuk keluar dari kepompong kemiskinan manakala peserta remaja pula digalakkan menimba ilmu kemahiran dengan menyertai Pusat Giat Mara atau kolej komuniti,” katanya lagi.

Tegas beliau lagi, setiap ketua isi keluarga di Perak juga perlu didedahkan dengan kemahiran keibubapaan bagi menangani masalah di kalangan anak remaja hari ini.

Pengaruh luar seperti penggunaan meluas internet dan laman sosial seperti Facebook katanya, menyebabkan tugas dan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak semakin mencabar.

“Ibu bapa perlu mengukuhkan lagi institusi keluarga dengan memiliki kemahiran keibubapaan dan berkomunikasi yang berkesan bagi menangani masalah di kalangan  remaja yang semakin mencabar dewasa ini,” tegasnya lagi.

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");