Perak Hari Ini

APMM Lancar SAR Kesan Dua Mangsa Dipercayai Hilang Di Perairan Pulau Pangkor dan Kuala Kurau

Seorang penyelam dikhuatiri hilang semasa menyelam di kawasan Selat Dinding laluan utara kira-kira 1.17 batu nautika Barat Daya Tanjung Siagin, dekat Pulau Pangkor, semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3, Kapten (M) Abdul Razak Johan berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lumut telah menerima laporan kes berkenaan daripada pasukan Polis Marin Kampung Acheh pada jam 1.55 petang.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) kemudian dijalankan pada jam 2.45 petang diketuai oleh APMM dan dibantu oleh aset-aset agensi lain, terdiri daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA3) serta pasukan penyelam APMM dan TLDM.

“Mangsa dikenali sebagai Elias Mohd Yusup, 32, bersama seorang lagi rakannya sebelum itu sedang menyelam di kawasan kapal Ex Inderapura untuk pemeriksaan di bahagian belakang ‘sterngate’ kapal.

“Pada ketika itu mangsa memakai pakaian menyelam berwarna hitam dan tidak memakai tong gas sebaliknya hanya menggunakan ‘air compressor’ (udara termampat,” katanya kepada pemberita di Lumut, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang juga bekas anggota TLDM disedari hilang apabila rakan mangsa yang telah naik ke permukaan air mendapati mangsa tidak timbul-timbul ke permukaan.

“Setelah sepuluh minit, rakan mangsa telah menarik penyedut pernafasan tetapi hanya pemberat sahaja yang timbul.

“Rakan mangsa telah bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa sebelum SAR dijalankan,” katanya.

Menurutnya, SAR diteruskan pada hari kedua dengan memperluaskan kawasan pencarian dan berkemungkinan menggunakan Robotic Operation Vessel (ROV) sekiranya diperlukan.

“Sekiranya mangsa masih tidak ditemui, kita akan meneruskan SAR sehari dua lagi.” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, pihaknya turut menerima satu lagi kejadian orang hilang pada Jumaat di perairan Kuala Kurau, Tanjung Piandang.

“Mangsa yang adalah nelayan dikenali sebagai Teoh Weng Meng, 50, dan hilang ketika keluar ke laut menggunakan bot kecil pada 29.11.2012.

“Menurut laporan yang dibuat anak saudara mangsa, mangsa keluar seorang diri pada hari kejadian sehinggalah mereka cuba menghubunginya tetapi gagal,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa telah bertindak mencari mangsa pada jam 5 petang tetapi hanya menemui bot sahaja di lokasi kejadian.

“Susulan kejadian itu, bilik operasi Kuala Kurau telah mengaktifkan SAR pada Jumaat mulai 7.30 pagi dengan menggunakan tiga buah Bot Kilat dan dibantu oleh 2 buah bot dari Jabatan Bomba dan penyelamat.

“Sehingga kini tiada perkembangan baru kejadian dan SAR masih diteruskan,” katanya.

– NORAINI MAHAMAD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");