Kolumnis

Karpal Marah PAS, PAS Berani Marah Balik?

Marah betul Pengerusi DAP, Karpal Singh apabila Kerajaan PAS Negeri Kelantan menguatkuasakan undang-undang melarang pengusaha salun dan pendandan rambut wanita memotong rambut pelanggan lelaki di negeri itu.

Karpal yang selama ini begitu terkenal dengan pendirian anti-perlaksanaan hukum Islam berkata, dia sangat terkejut apabila PAS Kelantan menguatkuasakan undang-undang itu kepada golongan bukan Islam.

Menurutnya lagi, PAS memaklumkan padanya sebelum ini bahawa segala peraturan berkaitan hukum Islam hanya akan dikuatkuasakan kepada golongan Islam sahaja tanpa membabitkan yang bukan Islam di negeri tersebut.

Marah punya pasal, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mendesak agar para pemimpin PAS di peringkat pusat agar campur tangan dalam hal tersebut agar isu itu tidak digunakan untuk “menembak” Pakatan Haram menjelang PRU ke-13 nanti.

Melihat kemarahan dan kekeliruan Karpal ini, beranikah kepimpinan PAS membantah desakan Pengerusi DAP itu?

Sekiranya anda bertindak sebagai kepimpinan PAS yang digesa Karpal itu, apakah anda akan bersetuju dengan permintaan tersebut? Mahu dilayankah kehendak Karpal itu?

Pelik sungguh! PAS selama ini mendakwa bahawa hubungan PAS – DAP bukanlah sekadar hubungan politik, tapi kononnya mereka berdakwah dan menerangkan tentang kefahaman Islam kepada kepimpinan DAP.

Tapi meskipun sudah hampir lima tahun PAS bersahabat dengan”syaitan” itu, DAP tetap tidak faham-faham tentang hukum hakam Islam, malah sering menempelak segala dasar yang cuba dilaksanakan PAS!

Sewajarnya, PAS menerangkan kepada DAP tentang hukum haram bagi mana-mana lelaki atau wanita yang bukan muhrim untuk bersentuhan sekiranya tidak melibatkan perkara darurat yang memerlukan. Itu fakta.

Contoh kes di Kelantan, yang mencetus kontroversi baru-baru ini di mana seorang pendandan rambut dari salun rambut E-Life di kompleks membeli belah KB Mall telah disaman oleh pegawai penguatkuasa majlis perbandaran yang berpakaian biasa kerana memotong rambut pelanggan lelaki.

Pada saya, sekiranya pendandan itu merupakan seorang wanita muslim dan pelanggan lelaki itu pula adalah bukan muslim, pemilik salun itu perlu disaman kerana tidak menyediakan pendandan wanita bukan Islam untuk memotong rambut lelaki bukan muslim itu.

Namun sekiranya pendandan wanita itu bukan muslim dan pelanggan lelaki itu pula merupakan seorang muslim, maka sewajarnya pelanggan lelaki itulah yang patut disaman penguatkuasa tersebut!

Ini adalah kerana mana-mana muslim atau muslimah yang mukallaf harus tahu hukum agama yang sepatutnya mereka taat dan patuh sebagaimana yang ditetapkan oleh ajaran Rasulullah SAW dan Al-Quran.

Itulah peraturan yang sepatutnya dilaksanakan di Kelantan dan bukannya pihak penguatkuasa boleh menyaman sesiapa saja yang mereka suka!

Selain itu, sebelum menguatkuasakan sesuatu yang berhubung dengan hukum hakam Islam, para penguatkuasa juga sepatutnya diberi taklimat dan ilmu secukupnya untuk melaksanakan peraturan tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan golongan bukan Islam.

Persoalannya, apakah Kerajaan PAS Negeri Kelantan tidak ajar para penguatkuasanya? Atau Kerajaan PAS pimpinan Nik Aziz Nik Mat itu sememangnya tidak tahu melaksanakan hukum Allah itu secara berhikmah dan wajar?

Padanlah golongan bukan Islam di negara ini memandang rendah kepada perlaksanaan hudud! Dengan pendekatan dan perlaksanaan undang-undang yang djalankan oleh kerajaan “milik” Nik Aziz ini, jelas ia memalukan Islam kerana ia boleh dilihat sebagai tidak adil dan menganjurkan diskriminasi.

Kalau undang-undang semudah itu pun Nik Aziz tidak mampu laksanakan dengan baik dan teratur, apatah lagi untuk melaksanakan hudud! Langsunglah dia tak tahu nak buat macam mana, kan?

Justeru itu, jangan fikir PAS itu betul cara Islamnya sedangkan apa yang PAS lakukan selama ini jelas menjejaskan nama baik Islam sebagai sebuah agama yang adil. Padanlah tidak ada seorang pun pemimpin DAP yang memeluk Islam sejak berkawan dengan PAS, kan?

– PANDORA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");