Jenayah

Kena tikam dari belakang

Pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi seorang pembantu jurulatih karate yang disamun, malam kelmarin.

NILAI – Seorang pembantu jurulatih karate cedera parah selepas ditikam dalam kejadian samun membabitkan empat penjenayah di Taman Permai Jaya, Mantin, dekat sini, malam kelmarin.

Setakat ini, kesemua penjenayah masih bebas dan gerakan mencari sedang dijalankan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, mangsa, Tam Yam Choy, 55, cedera parah ditikam di belakang badan ketika cuba melawan empat penyamun tersebut dalam kejadian di hadapan rumahnya.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, berlaku pergelutan apabila mangsa menyedari suspek cuba masuk ke kawasan rumahnya untuk menyamun.

“Mangsa dan isterinya ketika itu berada di hadapan rumah sebelum tiba-tiba didatangi empat suspek menaiki dua motosikal,” katanya.

Ketika pergelutan, katanya, seorang daripada suspek cuba menikam belakang badan mangsa dengan sebilah pisau sehingga mangsa rebah.

“Suspek kemudian merampas wang tunai RM200 serta sebuah telefon bimbit milik isteri mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Isteri mangsa yang tergamam dengan kejadian itu kemudian meminta pertolongan jiran sebelum melaporkan kepada polis,” katanya di sini, semalam.

Mohd Yusoff berkata, mangsa yang parah akibat luka tikaman dalam dan hampir mengenai paru-paru dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun dan gerakan memburu suspek sedang dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian  06-7583222 bagi membantu siasatan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");