Perak Aman Jaya, Perak Hari Ini

Persembahan Syair Dan Puisi Secara Terbuka Jadi Tarikan FPLRA 2012

Penyampaian puisi dan syair secara santai dan terbuka bakal menjadi tarikan utama Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (FPLRA) 2012 yang dijadual berlangsung di Arena Pangkor dan Pantai Pasir Bogak dari 15 hingga 17 Disember depan.

Exco Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata majlis perasmian festival puisi untuk tahun ketiga berturut-turut itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga merangkap Adun Pangkor.

Beliau berkata lagi, festival yang semakin menjadi tempat di kalangan penggiat seni dan budaya negara itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan.

Katanya, tema “Meningkatkan Harmoni Menerusi Seni” yang dipilih pada tahun ini diharap mampu meningkatkan kesedaran dan apresiasi seni di kalangan masyarakat terutamanya di peringkat belia.

“Objektif festival ini antara lain untuk menyedarkan masyarakat akan peranan yang boleh dimainkan seni dalam memantapkan perpaduan,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Katanya, lebih 500 peserta dijangka memeriahkan festival itu termasuklah penggiat seni dan budaya dari luar negara seperti Brunei dan tidak ketinggalan karyawan tempatan.

Difahamkan, pihak penganjur menyasarkan penyertaan daripada ahli akademik dan guru, penyair, sasterawan, ahli seni, remaja serta individu yang mempunyai minat mendalam terhadap seni penyampaian puisi.

Lebih 30 penyair antaranya AH Karim, Johan Jaafar, Leo AWS dan beberapa penyair dijangka akan turut memeriahkan festival tersebut manakala persembahan lagu rakyat pula dijangka bakal menampilkan beberapa nama besar dalam industri seperti Kopratasa, Monoloque dan Najwa Latif.

Selain aktiviti mendeklamasi puisi dan lagu rakyat, sebuah forum dengan tema yang sama akan diadakan di Dewan Bogak, Hotel Puteri Bayu Pulau Pangkor pada 16 Disember bermula jam 9 pagi.

Antara panelis yang terlibat dalam forum terbabit ialah  Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof Datuk Dr Abdul Latif Bakar, Rektor ASWARA, Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan dan panelis jemputan dari Universiti Brunei Darussalam, Zefri Ariff.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");