Kolumnis

Dzulkefly “Think Tank” PAS Jangan Melatah Laaa…

Masih panas diperkatakan mengenai isu amanat Hadi yang terbit dari keceluparan mulut Presiden PAS itu pada tahun 1981 dan meskipun sudah lebih dari tiga dekad dia didesak untuk menarik balik amanat itu, dia masih pening-pening lalat dan terus berdolak-dalih.

Sekonyong-konyong dihentam kiri dan kanan, atas dan bawah, depan dan belakang, maka datanglah seorang “think tank” PAS yang paling hebat untuk menyelamatkan “boss”nya…

Dia yang saya maksudkan ialah Dr. Dzulkefly Ahmad yang begitu kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal dan dangkal!

Terbaru, Dzulkefly meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya jangan melatah terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, setelah badan kerajaan itu mengeluarkan kenyataan dan mendesak agar amanat Hadi ditarik balik.

Menurut Dzulkefly, JAKIM tidak faham istilah ijtihad sosio-politik di dalam Islam dan mahu agensi yang dipenuhi oleh para ulama muktabar itu menganjurkan wacana untuk membahaskan isu amanat “sesat” tersebut.

Saya tidak pasti sama ada akal Dzulkefly ini berpura-pura tak faham atau dia sebenarnya langsung tak faham apa yang dia perkatakan?

Pada saya, segala pertikaian mengenai amanat “songsang” itu sangat jelas dan ia sudah pun “dibayan” dengan baik oleh para Mufti yang bersuara, termasuk salah seorang mufti yang sangat dihormati, Sahibussamahah Tan Sri Harussani Zakaria.

Saya berpendapat, sekiranya dianjurkan sama ada wacana, forum, debat atau apa jenis ijtihad sekali pun mengenai amanat tersebut, maka sudah tentu ia akan berakhir dengan kesalahan yang berpihak kepada Abdul Hadi yang mengeluarkan amanat tersebut.

Sudah lebih tiga dekad amanat tersebut dibiar memecah-belahkan umat Islam di negara ini dan di dalam tempoh itu sudah “berbuih-buih” Hadi digesa untuk menarik balik amanatnya itu dari terus merosakkan umat Islam.

Mungkin sampai di sini saja kesabaran umat Islam terhadap Presiden PAS tersebut dan umat Islam perlu disedarkan dari kekeliruan yang mengakibatkan lebih 3 juta umat Islam di negara ini dikafirkan, tidak termasuk yang sudah meninggal dunia.

Hadi diminta menarik balik amanatnya yang mengkafirkan umat Islam itu kerana dia masih hidup dan ramai lagi umat Islam yang dikafirkannya itu masih bernyawa serta masih sempat untuk dia meminta maaf kepada mereka.

Mana-mana umat Islam yang telah dikafirkan Hadi dalam amanatnya itu dan mereka telah meninggal dunia, maka pandai-pandailah Hadi mencari mereka di padang Mahsyar nanti dan pandai-pandailah dia meminta maaf dari mereka.

Persoalannya, salahkah JAKIM mendesak Hadi menarik balik amanatnya yang mengkafirkan umat Islam itu?

Apakah Dzulkefly fikir JAKIM hanya ditugaskan untuk mengambil tahu tentang soal nikah kahwin, haji, sijil halal, zakat serta solat lima waktu saja, dan langsung tak payah fikir tentang maslahah ummah di negara ini?

Seperkara yang Dzulkefly perlu tahu, JAKIM memiliki ramai ilmuan yang berlatar bekalangkan pengajian Islam yang jauh lebih tinggi darinya dan sudah tentu mereka begitu faham serta mengerti tentang selok-belok sosio-politik Islam.

Jadi, tak perlulah “think tank” PAS itu mempertikaikan JAKIM dan saya pasti badan kerajaan itu jauh lebih arif berbanding dirinya.

Baik pergi sekolah dulu sebelum anda disekolahkan…

– PANDORA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");