Sukan Hari Ini

Sharapova tarik diri Antarabangsa Brisbane

BRISBANE, Australia – Bintang tenis Rusia, Maria Sharapova terpaksa menarik diri daripada kejohanan pembuka tirai 2013, Antarabangsa Brisbane yang memulakan kempennya semalam ekoran kecederaan tulang selangka kanan.

Juara Terbuka Perancis itu menghantar keputusan imbasan kepada doktor di New York, yang menasihatinya supaya tidak melakukan sebarang latihan sekurang-kurangnya seminggu.

“Untuk bersikap adil, saya tidak mempunyai banyak peluang untuk memukul bola dan servis yang tinggi. Saya cuma berlatih melakukan pukulan rendah, jadi saya kesuntukan masa dalam membuat persiapan,” katanya.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut, Sharapova terpaksa menarik diri daripada kejohanan tersebut tanpa sempat turun ke gelanggang.

Pada 2012, bintang Rusia itu menarik diri daripada Antarabangsa Brisbane akibat kecederaan buku lali dan terus ke Melbourne untuk menghadapi Terbuka Australia, di mana dia muncul naib juara di belakang Victoria Azarenka.

Menurut Sharapova, dia akan melakukan perkara yang sama tahun ini, terpaksa melepaskan peluang beraksi di Brisbane dan Sydney minggu depan untuk cergas bagi menghadapi Grand Slam sulung 2013, Terbuka Australia.

“Belajar daripada pengalaman lalu, saya sedar betapa pentingnya untuk berada dalam keadaan kesihatan terbaik apabila beraksi pada kejohanan besar seperti Terbuka Australia.

“Ia lebih penting daripada beraksi dalam banyak kejohanan. Kesihatan sangat penting,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Sementara itu dalam saingan wanita yang bermula semalam, bekas juara dan pilihan keenam dari Republik Czech, Petra Kvitova tumbang mengejut 4-6, 5-7 kepada pemain Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova.

Pilihan kelima, Sara Errani dari Itali juga tewas dalam pertarungan tiga set kepada naib juara 2012, Daniela Hantuchova 6-4, 1-6, 5-7. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");