Kolumnis

Guan Eng lakukan provokasi lagi!

KENYATAAN Guan Eng supaya kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ?Allah” dalam Bible adalah suatu provokasi halus selepas berjaya melakukannya di Sarawak.

Dalam Bible perkataan God yang digunakan bermaksud Tuhan, bukannya Allah. Perkataan Allah spesifik digunakan oleh orang Islam kerana ia membawa maksud Tuhan Yang Satu. Orang Kristian tahu ini.

Menyamakan maksud atau makna Trinity sebagai Tuhan Yang Satu adalah bercanggah. Contoh yang jelas ialah Jesus atau Nabi Isa disebut sebagai Anak Tuhan sedangkan Islam menganggap Nabi Isa sebagai Nabi bukannya Anak Tuhan. Allah tidak beranak dan diperanakkan.

Anwar Ibrahim bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah ini. Semasa menjadi Presiden ABIM dulu, perkara ini tidak pernah berbangkit. Dr. Muhammad Nur Manuty juga bekas Presiden ABIM dan sekarang Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan dalam antarapos, bersetuju penggunaan kalimah ?Allah” digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Perkara ini juga tidak pernah berbangkit semasa beliau menjadi Presiden ABIM dulu atau pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kalau Ustaz Niamat Yusof (Kedah) dan Ustaz Dahlan (Perlis) masih hidup pasti mereka beristigfar panjang. Apakah ini tarbiyah al Marhum Ismail Faruqi semasa di Universiti Temple dulu?

Soalan yang berbangkit ialah apakah akidah Kristian dalam kitab Biblenya mendukung maksud Tuhan dalam kitab Injil sesuai dengan fahaman agama samawi yang menjadikan konsep ?hunafa” iaitu Allah Yang Satu sebagai akidahnya.

Kenyataan Anwar dan Dr. Muhammad Nur amat tidak disetujui oleh Dr. Haron Din. Kenyataan yang dirakamkan dalam ?Mahaguru 58″ dan disiarkan kembali oleh AIDC, Dr. Haron bertegas menyatakan ” Menyokong sesuatu yang salah di sisi Islam boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik” dengan merujuk Surah al Maidah, ayat 73.

Katanya lagi, ?Syirik kepada Allah adalah suatu kezaliman yang amat besar. Seluruh kebaikan yang dilakukan pada masa lalu akan pupus. Dan dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah”.

Mengapa pendirian Dr. Haron ini tidak diberi perhatian oleh Majlis Syura Pas yang mana Dr. Haron menjadi orang pentingnya. Bila perkara ini berbangkit Pas pada tahun 2010 mengambil pendirian membolehkannya.

Tetapi yang terbaru Ketua Penerangannya Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam portal Pas – harakah daily.net menyatakan ” Menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam”.

Dan Ketua Ulama Pas, Harun Taib mengambil pendirian yang sama. Mengapa pendirian seperti ini tidak diambil pada tahun 2010. Isu kalimah Allah yang berbangkit pada waktu itu dengan isu kalimah Allah yang berbangkit sekarang adalah sama.

Inilah yang menjadi keberanian Guan Eng melakukan provokasi kepada kerajaan kerana dalam kalangan ulama pakatan pembangkang pun tidak sekata. Hairannya bagaimana isu akidah tauhid ini para ulama Pas dan PKR tidak mempunyai pendirian yang sama.

Dr Muhammad Nur adalah anak didik Dr. Haron semasa di UKM dulu. Takkan kerana politik, perbezaan mengenai isu akidah tauhid jadi begitu. Anwar juga sangat dekat dengan Dr. Haron. Mengapa pendirian Dr. Haron dengan rujukan nas yang banyak dianggap tidak syarie.

Kalau dengan perjuangan Negara Islam dan hudud Pas, DAP boleh pertikai dan Pas mundur ke belakang menganut faham Negara Berkebajikannya, Guan Eng mencuba pula dengan isu yang paling asas iaitu akidah tauhid, nampaknya Anwar, Dr. Muhammad Nur dan kepimpinan Pas boleh menerimanya juga walaupun sekarang sesetengah pemimpin Pas mempertikainya pula.

Kalau begitu apa yang tinggal dalam perjuangan kedua-dua bekas pemimpin ABIM dengan moto, ?Memperjuangkan Keadilan dan Kebenaran” dan apa lagi yang tinggal kepada Pas yang sanggup mengetepikan Negara Islam semata-mata untuk mengejar cita-cita politik ke Putrajaya dan menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Harga akidah tauhid bagi orang Islam terlalu amat mahal. Mengapa semudah itu ia diperdagangkan. Kalau Pas dan PKR berfikir bahawa dengan penggunaan kalimah Allah itu secara psikologi orang Kristian akan menerima hidayah, apakah kenyataan itu yang berlaku di Sarawak?

Di Barat, isu kalimah Allah ini tidak berbangkit. Ia berbangkit di daerah Alam Melayu ini dan generasi muda yang tidak arif dengan isu ketuhanan akan mudah menyatakan bahawa dari segi akidah — Kristian dan Islam adalah sama.

Inilah asas pluralisme yang ingin didukung oleh Anwar untuk membolehkannya menang dalam pilihan raya dan dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

– Jendela Tokki (UTUSAN MALAYSIA)

– UTUSAN MALAYSIA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");