Perak Hari Ini

Perak Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Kes Tanah Runtuh

Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri Perak bagi menyiasat kes tanah runtuh di Jalan Pahang berhampiran laluan Tapah-Cameron Highlands, Disember lalu.

Exco Alam Sekitar, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata antara agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa tersebut adalah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah Galian dan Jabatan Perhutanan.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab mengkaji kawasan pembangunan dengan cerun yang tinggi serta mengenalpasti kawasan berlaku kejadian tanah runtuh berskala kecil di samping melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kebelakangan ini banyak kejadian tanah runtuh berlaku dan kita memandang berat terhadap perkara ini dengan menubuhkan jawatankuasa khas peringkat negeri Perak,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 40 kawasan di jalan negeri mengikut daerah dikenalpasti berisiko berlaku kejadian runtuh iaitu Kerian (2), Larut Matang- Selama (3), Kuala Kangsar (12), Kinta (12), Perak Tengah  (8) dan Hulu Perak (3).

Manakala di jalan persekutuan terdapat 43 kawasan berisiko disebabkan terletak dikawasan curam iaitu Larut Matang-Selama (3), Kuala Kangsar (1), Batang Padang (19), Perak Tengah (3) dan Hulu Perak (11).

Sehubungan itu, penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat penting bagi memastikan kejadian tanah runtuh berskala tinggi tidak berlaku disamping mengekalkan tahap keselamatan laluan terbabit.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tanah runtuh, beliau berkata kerajaan negeri telah membelanjakan lebih 16 juta untuk tahun 2012 bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan yang terlibat.

“Apa yang telah dilaksanakan ialah untuk tebing yang terhakis kita buat slope protection dan pada masa yang sama untuk menyalurkan air kita buat ‘interceptor drain’ dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau juga turut mengingatkan masyarakat supaya memberi kerjasama kepada pihak terlibat supaya membuat sebarang rujukan sebelum melakukan sebarang aktiviti penebangan hutan.

“Orang ramai khususnya pemilik tanah di Jalan Tapah- Cameron Highlands ini dan kawasan-kawasan lain yang ada cerun diminta mengambil perhatian untuk masa akan datang sekiranya ingin menebang pokok haruslah dirujuk kepada pihak kita,” jelasnya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");