Sukan Hari Ini

Kena terus terang

KUALA LUMPUR – Bintang muda bola sepak negara, Nazmi Faiz Mansor perlu menyelesaikan segera kemelut yang melanda dirinya termasuk menjelaskan kepada umum mengapa dia mengambil keputusan drastik meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar secara mengejut.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) menegaskan, Nazmi adalah milik negara, kerajaan telah berbelanja besar untuk menghantarnya ke Portugal, justeru, dia perlu menyelesaikan kemelut tersebut dengan cara terbaik agar tiada pihak yang membuat spekulasi.

“Mendiamkan diri tidak membantu, dia hanya menyebabkan orang membuat macam-macam spekulasi. Kena berterus terang, saya sendiri rasa ada sesuatu tak kena.

“Apa pun alasan dia nanti, tindakan ini tidak bagus untuk bola sepak Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Zolkples, keputusan Nazmi itu telah membuat ramai pihak bukan sahaja berasa terkejut, malah kecewa terhadap dirinya.

Jelas beliau, selama ini, Nazmi tidak pernah menunjukkan dia menghadapi masalah di Portugal dan pemergiannya ke sana turut diiringi dengan doa rakyat Malaysia yang mahu melihat dia berjaya.

“Kejayaan dia merupakan kejayaan negara, kita sentiasa mendoakan dia. Nazmi kena fikirkan kebaikan bola sepak negara, perlu diingat dia milik negara, harta negara,” tegasnya.

Beliau memberitahu, penyertaan Nazmi ke pasukan baru, PKNS FC turut mencetuskan tanda tanya kerana pemain remaja itu seolah-olah bebas membuat keputusan.

“Saya tak tahu apa polisi yang FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) pakai, sehingga dia boleh tandatangan dengan PKNS FC. Dia sepatutnya sertai skuad Harimau Muda, setahu saya tiada pemain yang diberi kelonggaran oleh FAM sebelum ini,” ujarnya.

Zolkples turut melahirkan kebimbangannya berhubung tindakan Nazmi itu yang akan menjejaskan peluang pemain lain untuk beraksi di luar negara.

Malah, katanya, tindakan Nazmi itu memberi contoh yang tidak baik kepada anak-anak muda kerana selain mengambil keputusan meninggalkan kelab S.C Beira-Mar separuh jalan, bintang remaja itu juga tidak melengkapkan persekolahannya.

“Nazmi masih muda, dia ada potensi besar dan dia sepatutnya berunding dengan FAM terlebih dahulu. Kena selesaikan dengan cara terbaik dan fikirkan apa yang terbaik untuk kerjaya,” ujar beliau.

– UTUSAN
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");