Perak Hari Ini

340 Ahli PKR Cabang Pasir Salak Keluar Parti, Tubuh UMNO Cawangan Taman Malinja Jaya

Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila 340 ahlinya mengisytiharkan keluar parti dan menubuhkan UMNO cawangan Taman Malinja Jaya, Felcra Seberang Perak 1,2 dan 16, pada Jumaat.

Diketuai oleh bekas Setiausaha Bahagian Pasir Salak, Mokhtar Ridzuan, kumpulan itu menyerahkan borang menyertai parti keramat orang Melayu, UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam ucapan di hadapan para penyokongnya, Mokhtar berkata, keputusan itu diambil tanpa sebarang desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak sebaliknya berbuat demikian di atas kerelaan sendiri.

“Saya kembali menyertai UMNO dengan kerelaan hati sendiri dan demi Allah, saya tidak terima walaupun satu sen pun daripada UMNO atau Ahli Parlimen, Datuk Tajuddin Rahman.

“Sebelum ini, saya terima khidmat banyak pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon menuduh saya menerima wang sogokan ratusan ribu ringgit sebagai ganjaran keluar PKR,” katanya lagi.

Tegas Mokhtar lagi, beliau yakin hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memimpin, menyatupadukan rakyat serta membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara ini.

Sehubungan itu, beliau bersama bekas ahlinya berikrar memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan UMNO.

Beliau turut berjanji akan membantu menarik lebih ramai rakan-rakannya yang masih lagi bersama PKR supaya kembali ke pangkal jalan dan menyokong perjuangan UMNO.

“Saya akan pergi ke setiap 15 cawangan PKR mengajak rakan-rakan menyertai UMNO selepas menubuhkan UMNO Cawangan Taman Malinja Jaya, Felcra Seberang Perak 1, 2 dan 16 ini,” katanya lagi.

Bekas penyokong tegar PKR itu juga mendedahkan pertelingkahan yang berlaku antara PKR dan PAS yang berebutkan kerusi Parlimen Pasir Salak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) Sungai Manik dan Kampung Gajah.

Katanya, ini membuktikan kedua-dua parti pembangkang itu tidak sehaluan dalam membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi Parlimen Pasir Salak.

Sementara itu, Tajuddin dalam sidang medianya, berkata beliau amat berbesar hati dengan tindakan sekumpulan ahli PKR itu yang kini sedar dan kembali menyertai UMNO.

Katanya, punca yang membawa kepada tindakan ahli keluar parti adalah disebabkan tiada persefahaman antara parti PAS dan PKR di kawasan berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mengesahkan keputusan Mokhtar dan bekas ahli PKR menyertai UMNO tiada unsur paksaan dan mereka juga tidak mendapat sebarang imbuhan daripada parti berkenaan.

Tegasnya, seperti biasa tuduhan dilemparkan pembangkang bahawa ahli mereka ini mendapat imbuhan kerana menyertai UMNO walaupun ia tidak benar sama sekali.

“Sebenarnya, kita di pihak UMNO tidak hairan dengan cakap atau fitnah seperti ini kerana inilah budaya dan perangai busuk pembangkang.

“Pembangkang suka menabur fitnah dan amat mendukacitakan sekali kerana PKR dan PAS masing-masing kononnya memperjuangkan keadilan dan kebenaran,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");