Perak Hari Ini

Kelulusan Tanah, Konsesi Balak Diputuskan Oleh MMK Dan Ketua Jabatan

Keputusan meluluskan tanah dan konsesi balak terletak di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dan ketua jabatan yang bertanggungjawab dalam bidang berkenaan.

Sehubungan itu, rakyat digesa agar lebih berwaspada apabila didatangi mana-mana pihak yang mengakui dirinya sebagai Pegawai Khas Menteri Besar atau pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang boleh meluluskan tanah atau konsesi balak di Perak.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad, berkata beliau sendiri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan berkenaan sebaliknya hanya menjadi pemudah cara atau orang tengah antara rakyat dengan pihak kerajaan negeri.

“Kelulusan balak dan tanah diputuskan oleh MMK dan ketua jabatan yang bertanggungjawab dan sebagai pegawai khas Menteri Besar, saya hanya memanjangkan perkara itu untuk tindakan kedua-dua pihak berkenaan.

“Oleh itu, rakyat yang berhadapan situasi ini hendaklah bertindak segera dengan mendapatkan maklumat jelas daripada pihak PTG atau kerajaan negeri.

“Malangnya, masih ada rakyat yang percaya dengan tipu helah pihak tidak bertanggungjawab ini dan akhirnya menjadi mangsa penganiayaan,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Memandangkan pilihan raya semakin hampir, Azhar berkata, beliau percaya tindakan penyamaran ini akan terus berlaku bagi memburukkan imej Menteri Besar, ketua-ketua jabatan serta kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau mengulas laporan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki, Shariful Maa’rof Tan, 39, bagi membantu siasatan kes penipuan tanah membabitkan sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan kenamaan bergelar Datuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan, berkata lelaki berkenaan mempunyai banyak maklumat berkaitan empat peniaga restoran dan warung makanan yang menyamar sebagai pengarah dan pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta kenamaan dengan dua daripadanya bergelar Datuk Syed dan Datuk Sulaiman untuk memperdaya seorang mangsa menyerahkan sejumlah RM166,650 bagi membeli sebidang tanah seluas 60 hektar di Batu Kurau di daerah Larut, Matang dan Selama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");