Perak Hari Ini

Wanita UMNO Desak Presiden PKR Beri Penjelasan

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil mendesak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail membuat penjelasan berhubung kenyataan pemimpin mereka terutamanya Naib Presidennya, Tian Chua mengenai tragedi pencerobohan Lahad Datu yang menimbulkan kemarahan ramai pihak di negara ini.

Beliau turut mendesak Ahli Parlimen Batu itu dan pemimpin pembangkang lain yang mengeluarkan kenyataan menghina pasukan keselamatan negara yang terbabit dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu supaya memohon maaf.

“Komen dan perkataan pemimpin seperti Tian Chua memang biadap, saya nak kata pada dia jangan lagi buat perkara itu kerana disebabkan anggota keselamatan yang terkorban, kita semua selamat.

“Isteri dan keluarga mereka duduk di sini… ada suami di medan pertempuran yang memerlukan semangat, bukannya kata-kata, komen dan sindiran yang menyinggung perasaan yang dilafazkan oleh pemimpin pembangkang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk memperingati pahlawan yang terkorban serta anggota keselamatan bagi mendoakan kesejahteraan mereka ketika menghadapi penceroboh.

Pada majlis itu, Shahrizat turut menyampaikan sumbangan kepada Nurunnisa Abu Bakar balu Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud yang terkorban di Blok A Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerajaan melakukan siasatan terhadap dalang atau pengkhianat disebalik peristiwa berdarah pencerobohan di Lahad Datu yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang.

“Siasatan berita yang disebarkan di luar negara menyatakan ada pihak pemimpin pembangkang pengkhinat yang menjadi angkara perkara yang berlaku di Lahad Datu dan beberapa tempat di Sabah,” tegasnya.

Apa yang menghairankan katanya, pencerobohan berlaku ketika negara hampir mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Ini cubaan politik kerana mereka melihat negeri Sabah mempunyai majoriti pengundi BN… mungkin ini angkara pembangkang. Saya nak tanya Azizah mengenai dakwaan media luar negara tentang pembabitan suaminya.

“Adakah betul atau tidak kerana saya nak tahu dan jika betul, maka tindakan harus diambil.  Saya tidak buat tuduhan cuma nak tanya betul atau tidak pemimpin pembangkang dari PKR menjadi dalang dalam tragedi ini,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau menyeru semua pihak terus bersatu dan memberi sokongan kepada anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka yang terlibat mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");