Membawang Hari Ini

Dua Kalimah bawa iktibar untuk masyarakat

DEWASA ini, filem bergenre Islamik mula mendapat tempat di hati penonton. Bukan sahaja meletakkan mesej dakwah semata-mata, filem seperti ini juga amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Dek kerana itu, Metrowealth Pictures (MIG) berani untuk menghasilkan sebuah lagi filem berbentuk dakwah selepas 7 Petala Cinta dan Syurga Cinta.

Kali ini, pengarah yang sebelum ini terkenal dengan karya Aku Terima Nikahnya, Eyra Rahman diberi kepercayaan untuk menggarapkan filem Islamik, Dua Kalimah.

Mengetengahkan barisan pelakon yang mantap seperti Shaheizy Sam, Nora Danish, Yana Samsudin, Shima Anuar, Mikael Andre, Siti Aziz, Adiba Yunus, Niezam Zaidi, Wan Hanafi Su, Kartina Aziz, Rashidah Jaafar, Azlan Komeng, Kay Maria dan Ustaz Dini.

Menampilkan sinematografi menarik di persisiran pantai Kemaman, Terengganu, filem ini mengangkat kisah kehidupan manusia yang tersasar dari landasan Islam dan akhirnya ingin kembali mencari keredaan Ilahi.

Ia sekali gus memberi iktibar buat semua bahawa balasan ALLAH SWT tidak semestinya akan diterima ketika nyawa sudah dicabut, bahkan di dunia juga balasan akan diterima.

Bayangan siri Tanah Kubur

Berbeza daripada filem-filem terbitan MIG sebelum ini, Dua Kalimah dimulakan dengan laungan azan Subuh yang menjadi latar penceritaan.

Kebijaksanaan pengarah apabila membuatkan penonton rasa tertanya-tanya dan ingin tahu mengapa seorang anak yang dikatakan belajar di Arab, membersihkan songkoknya.

Apatah lagi, babak seterusnya menggambarkan dia berada di Australia sambil berbincang dengan seorang perempuan yang dikatakan sudah menjadi isterinya.

Bagaimanapun, sebaik Aiman lakonan Sam dan Selena lakonan Nora tiba di Malaysia, bayangan kepala penulis seperti sedang menonton drama Tanah Kubur apabila melihat seksaan yang diterima oleh jenazah yang melakukan kejahatan semasa hayatnya.

Mungkin kerana balasan tersebut diterima dalam tempoh yang agak rapat membuatkan balasan-balasan itu bagai kurang impaknya pada penonton.

Namun, mungkin ia adalah strategi Eyra dalam menimbulkan rasa keinsafan kepada penonton bahawa balasan yang diterima tidak semestinya berlaku dalam tempoh yang panjang.

Bagaimanapun, rasa ngeri yang berlaku terhadap pembalasan yang diterima itu, sedikit sebanyak menimbulkan rasa keinsafan pada penonton yang mungkin pernah melakukan kesilapan serupa dan membuatkan mereka tertanya-tanya adakah mereka juga bakal menerima balasan serupa.

Kekuatan lakonan

Selain itu, kekuatan lakonan daripada Sam, Nora dan Yana juga banyak membantu menimbulkan mood insaf kepada penonton.

Tentunya, gandingan pertama kali, Sam dan Nora di layar perak membuahkan hasil yang cukup mengagumkan.

Daripada segi emosi dan reaksi muka, penonton akan sentiasa diiringi dengan teka-teki mengenai identiti Selena yang nampak sudah insaf namun tidak tahu bagaimana untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

Manakala Aiman yang digambarkan sebagai seorang warak rupanya manusia bertopengkan syaitan yang terpesong akidahnya kerana menanggapkan ia sebagai satu ketentuan sejak awal lagi oleh ALLAH SWT.

Biarpun penonton akan melihatkan Aiman sebagai orang yang baik, akhirnya akan tahu ‘permainan’ Aiman apabila dia menerima pembalasan serta merta daripada ALLAH SWT.

Justeru dari situ, sekali lagi Eyra berjaya menimbulkan rasa keinsafan dan tanda tanya kepada penonton mengenai apakah balasan yang akan diterima oleh diri masing-masing semasa kita hidup nanti.

Tidak terhad balasan kepada orang yang telah pergi, Eyra juga turut menyelitkan impak yang diterima oleh keluarga si mati yang terpaksa berdepan dengan masyarakat yang bercakap mengenai balasan yang diterima oleh si mati ketika mahu dikebumikan.

Bila akidah terpesong

Dua Kalimah mengisahkan sepasang kekasih, Aiman (Sam) dan Selena (Nora), gadis kacukan Melayu-Inggeris pulang ke kampung halaman Aiman.

Sepanjang perjalanan, mereka berdua menghadapi tiga kematian daripada orang berlainan dan melihat azab diberi Tuhan secara tunai kepada si mati yang mana ketika hayat, si mati pernah mengamalkan ilmu sihir, berzina dan tidak menghormati orang tua.

Selena yang melihat kejadian berkenaan berasa takut dan tahu itu adalah petanda ALLAH yang menyuruh mereka bertaubat. Malah, Selena berharap Aiman yang dipandang tinggi ilmu agamanya oleh semua orang akan membawanya kembali ke jalan ALLAH. Namun mereka semakin terpesong akidahnya.

Aiman yang masih cintakan Humaira (Yana) tidak mahu mengahwini Selena namun disebabkan kandungan Selena semakin membesar, dia terpaksa menipu Haji Idrus (Ustaz Dini) bahawa mereka sudah berkahwin.

Tibanya di kampung Aiman, semua orang menyambut gembira kepulangan mereka berdua kerana Aiman anak kesayangan orang kampung disebabkan akhlaknya yang baik.

Hari demi hari, Selena semakin dihimpit rasa bersalah dan nekad menceritakan hal sebenar kepada keluarga Aiman. Malangnya, Aiman mengugut Selena. Satu hari, ditakdirkan Aiman jatuh sakit dan setiap pergerakannya terbatas, malah dia juga sukar mengucap dua kalimah syahadah.

Apakah nasib Aiman seterusnya? Masih sempatkah Aiman bertaubat atas segala dosanya? Adakah Selena masih setia menanti Aiman?

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");