Perak Hari Ini

Lagi 64 Ahli PKR Keluar Parti

Sokongan dan kekuatan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR)  kelihatan semakin terjejas apabila semakin ramai ahli dan penyokong tegar mereka bertindak keluar parti dan mengambil keputusan menyertai UMNO.

Buktinya, seramai 64 ahli PKR di Parlimen Pasir Salak nekad meninggalkan parti berkenaan yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PKR cabang, Ahmad Taufiq Hassan.

Borang menyertai parti keramat orang Melayu, UMNO diserahkan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam satu majlis yang berlangsung di KRT RPA 2, Kampung Gajah.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Taufiq memberitahu, kegagalan pucuk pimpinan menghormati prinsip perjuangan yang menghormati suara akar umbi membawa mereka kepada keputusan berkenaan.

“Akar umbi telah dinodai, hasrat dan suara semakin tidak dihormati….segala keputusan dibuat secara sendiri langsung tanpa perbincangan dibuat di peringkat cabang.

“Apabila timbul soal pemilihan calon, kehendak akar umbi begini keputusan pusat tidak seia sekata dan tanpa berbincang mereka umumkan calon. Namun perkara besar ialah apabila PKR meletakkan calon mereka tanpa mendengar suara peringkat akar umbi.

“Mereka seharusnya dengar laporan akar umbi sekiranya cabang tolak pemimpin ini tetapi Pusat letak calon ini semasa pilihan raya kali ini.. ia sesuatu yang pelik,” katanya.

Menyertai PKR sejak 1998, Ahmad Taufiq berkata, tindakan itu juga dibuat setelah melihat kecelaruan yang berlaku antara PKR dan parti sekutunya, PAS yang gagal mencapai keputusan sebulat suara.

“Lihat apa yang berlaku di Bagan Serai ketika PKR Dr Manuty seabagai calon, keesokan harinya Pas mengumumkan akan meletakkan calon di situ. Kalau soal akar umbi tidak boleh selesai bagaimana nak selesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.

Memberi contoh ketika Perak diperintah 11 bulan oleh PR, ia sudah mampu memberi gambaran bahawa berlakunya pergolakan dalam parti.

“Lihat bagaimana PKR tiba-tiba seolah hilang kuasa kerana mungkin ada juga yang merajuk, marah tentu ada sesuatu yang berlaku. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena di dalam parti,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Sementara itu, Tajuddin ketika ditemui berkata, UMNO dan BN Pasir Salak mengalu-alukan kehadiran Ahmad Taufiq dan ahli PKR yang lain untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Menurut beliau, kumpulan terbabit mempunyai peluang yang lebih baik untuk menabur sumbangan kepada perjuangan memartabatkan rakyat Malaysia di samping meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Golongan ini mempunyai perjuangan tinggi dan daya fikir yang tajam dan yang dapat digunakan untuk terus melaksanakan program-program kita demi kepentingan rakyat dan bangsa melalui wadah atau platform UMNO dan BN yang cukup luas,” kata beliau.

Dalam ucapannya mula, Tajudin menjelaskan kemasukan ahli PKR ke parti UMNO tidak akan disia-siakan oleh pihaknya malah ia bakal memberi sinar harapan kepada BN mereka untuk meneruskan perjuangan.

Majlis dikenali Sirih Pulang Ke Ganggang itu merupakan siri kedua menyaksikan ahli PKR di Parlimen Pasir Salak mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Pada awal Mac lalu, 340 ahlinya keluar parti dan menubuhkan UMNO Cawangan Taman Malinja Jaya, Felcra Seberang Perak.

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");