Sukan Hari Ini

Johor DT bernafsu intai mahkota liga

Johor Darul Takzim mengutip tiga mata berharga, petang semalam ketika menewaskan T-Team 2-1 dan pencapaian ini harus menyalakan impian untuk mengintai peluang memburu mahkota kejuaraan Liga Super, musim ini.

Jaringan penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-52 dan penyerang import Argentina, Leonel Nunez pada minit ke-67 sudah cukup untuk membantu barisan pimpinan Fandi Ahmad itu menghambat pendahulu, Lions XII dan Tentera berbekal 31 mata ketika ini selepas 17 perlawanan.

Penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim berkata dia lega pasukannya meraih tiga mata yang cukup berharga buat mengukuhkan lagi kedudukan dalam kelompok tiga teratas liga.

Biarpun pemain saya tertekan selepas T-Team mendahului, tetapi semangat juang pemain membuatkan kita berjaya membawa pulang tiga mata penuh ini. Kemenangan ini juga memberi tamparan buat pendahulu liga, Lions XII, katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Almeida puas hati

Jurulatih sementara T-Team, Eduardo Almeida yang mengambil alih jawatan itu daripada Peter Butler berkata biarpun T-Team gagal menterjemahkan peluang mengutip tiga mata tetapi dia tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain.

Bagi saya, pemain sudah mencuba dan melakukan yang terbaik tetapi nasib tidak memihak pasukan dan saya lihat corak permainan ditunjukkan pemain bertambah mantap.
Saya baru dua hari mengambil alih melatih pasukan ini dan saya yakin melihat prestasi yang ditunjukkan ini, pasukan ini mampu mencatatkan keputusan lebih baik dalam baki empat perlawanan lagi, katanya.

The Titans bermula garang apabila mendahului permainan menerusi pemain tengah, Badrul Hisyam Morris yang menyempurnakan sepakan penalti melepasi jangkauan penjaga gol gantian, Zamir Selamat pada minit ke-32 selepas bola terkena tangan pertahanan, Nazri Ahmad.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");